KUALA LUMPUR: Menyifatkan Ernie Zakri memiliki suara yang unik membuatkan penyanyi Indonesia, Raisa, memilihnya untuk persembahan duet di konsert Raisa Teristimewa Di Kuala Lumpur, bulan hadapan.
Menurut Raisa atau Raisa Andriana, 34, dia sudah lama mengagumi bakat penyanyi Masing-Masing itu membuatnya yakin menjadikan Ernie sebagai artis Malaysia pertama untuk kolaborasi nyanyian sulungnya di sini.
“Kerana kami belum pernah berkolaborasi. Jadi saya ingin (berkolaborasi). Lagu yang akan kami bawakan juga adalah lagu yang belum saya bawakan di Kuala Lumpur. Ia akan jadi momen yang sangat istimewa selain dengan teman duet yang luar biasa berbakat.
“Antara lagu yang kami akan bawakan adalah Anganku Anganmu. Ia merupakan lagu duet saya bersama Isyana Sarasvati dan belum pernah saya bawakan di konsert saya di Malaysia sebelumnya.
“Lagu itu juga mendapat sambutan yang bagus di Malaysia dan penonton juga banyak yang meminta, tapi belum pernah dipentaskan jadi ia akan menjadi momen yang istimewa nanti,” katanya yang ditemui di Silverfox, Jalan Doraisamy di sini, petang tadi.
Belum berkesempatan bertemu empat mata dengan Ernie, Raisa bagaimanapun percaya persembahan daripada mereka berdua akan berjaya mencuri hati pengunjung.
“Saya sudah lihat duet-duetnya terdahulu secara langsung dan ia luar biasa, jadi ia tidak akan ada masalah,” tambahnya.
Malah Raisa juga tidak menolak sekiranya ada peluang merakamkan lagu duet bersama Ernie.
Berkongsi lanjut mengenai konsert ketiganya di Kuala Lumpur, Raisa menjanjikan pengalaman persembahan yang lebih baik dari susunan muzik, permainan lampu dan kesan audio visual yang dibawakan sepenuhnya daripada pasukannya di Indonesia.
“Penonton di sini tenaganya luar biasa, jadi aku mahu memberikan penampilan yang berbeza dan lebih segar. Aku merasakan peminat di Malaysia belum mendapatkan pengalaman penuh menonton konsert saya, maka saya datang kali ini membawakan yang lebih istimewa.
“Ini konsert yang benar-benar ‘teristimewa’ buat saya dan peminat di sini. Segala persediaan dilakukan secara langsung oleh saya sendiri bersama pasukan, dan ia pasti berbeza dari konsert-konsert sebelumnya di sini,” tambahnya.
Konsert Raisa Teristimewa Di Kuala Lumpur yang akan berlangsung pada 3 November depan di Megastar Arena bakal menyajikan lagu-lagu hit penyanyi itu seperti Kali Kedua, Jatuh Hati dan Mantan Terindah serta 20 buah lagu dengan iringan pemuzik profesional yang diterbangkan khas dari Indonesia. -UTUSAN