MENGALAMI kerugian sehingga RM300,000 ketika menjalankan perniagaan barangan kelengkapan bayi di Bangi Sentral dan cawangan di Jitra, Kedah sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 2020 menyebabkan operasi tidak dapat dijalankan dan memulakan perniagaan secara dalam talian.
Usahawan, Syikin Helmi, 33 berkata, pada ketika itu, dia tidak dapat bersaing dengan peniaga atas talian yang lain disebabkan kos penyelenggaraan kedai dan kakitangan daripada perniagaan atas talian.
Katanya, dia terpaksa menutup perniagaan yang dijalankan selama lapan tahun bermula 2014 hingga 2021 yang dikenali Nurizshar Baby Shop dan memulakan perniagaan pastri sejuk beku, NottyTummy pada 2022.
“Alhamdulillah, pada tahun lalu perniagaan mencatatkan keuntungan yang memberangsangkan dengan jualan sebanyak 20,000 pek setahun.
“Jualan yang diperoleh membuktikan bahawa pasaran untuk produk makanan pastri sejuk beku ini semakin berkembang,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Syikin menambah, inspirasi untuk berniaga makanan pastri sejuk beku datang apabila dia melihat potensi besar dalam industri makanan yang semakin berkembang, terutamanya dengan permintaan terhadap produk makanan yang mudah, sedap dan boleh disimpan lama.
Ketika ini, NottyTummy menawarkan empat jenis produk iaitu croissant (saiz kecil dan sederhana), pai ayam dan pastri coklat (puff coklat) pada harga iaitu RM25 per pek dan kualiti produk bergantung pada jenis dan saiz.
“InsyaAllah, dalam masa terdekat, saya merancang untuk menambah lagi produk baru bagi memenuhi permintaan pelanggan yang semakin meningkat,” katanya.
Dari segi sambutan daripada pelanggan setakat ini sangat menggalakkan dan mendapat respon yang positif, terutamanya kerana kualiti, rasa, kesegaran dan ia sangat memudahkan pelanggan.
“Ramai pelanggan menghargai kesegaran produk walaupun dalam bentuk frozen, dan mereka juga memuji ia sangat mudah untuk disediakan. Ada pelanggan yang sudah menjadi pelanggan tetap dan memberi sokongan berterusan.
“Dengan sokongan ini, saya semakin bersemangat untuk terus menambah baik produk dan memperkenalkan variasi baru di masa hadapan,” katanya.
Graduan Universiti Lim Kok Wing pada 2011 itu berkata, sebelum ini dia pernah bertugas dalam bidang penyiaran selama empat tahun dan memulakan perniagaan sejak dari kecil apabila melihat keluarganya aktif dalam bidang perniagaan.
“Saya membesar dalam suasana di mana budaya berniaga sudah menjadi sebahagian daripada kehidupan harian.
“Sejak dari kecil, saya sering membantu keluarga dalam perniagaan mereka dan dari situ, saya mula belajar selok-belok perniagaan.
“Pengalaman ini membina semangat keusahawanan dalam diri saya dan keluarga sentiasa menjadi tulang belakang dalam memberi dorongan serta sokongan. Itulah yang memberi saya keyakinan untuk memulakan perniagaan makanan pastri sejuk beku ini,” katanya.
Syikin memaklumkan, pada tahun ini dia berhasrat untuk menggandakan jualan dan berjaya mencapai sasaran yang ditetapkan.
“Dengan sokongan pelanggan yang setia kami berjaya memenuhi target jualan yang dirancang lebih awal daripada jangkaan.
“Ini memberi keyakinan kepada kami untuk terus berkembang dan memperkenalkan lebih banyak produk berkualiti tinggi kepada pelanggan untuk masa akan datang,” katanya.
Dalam pada itu, Syikin turut menasihatkan kepada usahawan lain adalah untuk sentiasa percaya kepada impian dan usaha sendiri.
“Perjalanan perniagaan tidak akan sentiasa mudah, tetapi dengan kesungguhan, ketekunan dan sokongan daripada orang sekeliling, apa yang kita impikan boleh menjadi kenyataan.
“Jangan takut untuk mencuba sesuatu yang baru atau mengambil risiko kerana setiap cabaran adalah peluang untuk belajar menjadi lebih baik dan kekal fokus kepada matlamat anda, sentiasa memperbaiki produk atau perkhidmatan supaya dapat memberikan yang terbaik kepada pelanggan,” katanya. – UTUSAN