KUALA LUMPUR: Penyanyi Indonesia, Sal Priadi, mendedahkan pernah berbincang untuk menghasilkan lagu bersama artis, Noh Salleh.
Pengenalan Sal atau Salmantyo Ashrizky Priadi, 32, dengan artis kelahiran Sarawak itu bermula apabila dia ditugaskan membuat persembahan pembukaan bagi siri jelajah album Angin Kencang di Malang, Indonesia pada 2017.
“Saya pernah buat persembahan pembukaan ketika Noh Salleh promosi album solonya di Malang, kota kelahiran saya.
“Itu antara memori bersama Noh yang saya ingat. Waktu itu juga kita pernah berbual untuk mencari peluang hasilkan lagu bersama,” katanya.
Sal ditemui Utusan Malaysia majlis sidang media Konsert Sal Priadi Zuzuzaza Live in Kuala Lumpur, di sebuah kafe baru-baru ini.
Bukan itu sahaja, penyanyi Gala Bunga Matahari itu juga memuji perkembangan muzik yang ditampilkan vokalis Hujan itu setiap tahun.
“Lagu Noh sudah banyak bervariasi dibanding 5 tahun lalu.
“Zaman kini semua orang boleh buat lagu bermacam jenis.
“Bukan itu sahaja, pendengar juga sudah bersedia mendengar kepelbagaian muzik mungkin kerana TikTok,” jelasnya.
Dalam perkembangan lain, Sal bakal mengadakan konsert berskala besar pertamanya di Malaysia Ahad ini di Zepp Kuala Lumpur.
“Secara jujurnya, saya berasa gementar memikirkan penerimaan penonton di sini (Malaysia).
“Namun, saya yakin penonton dan peminat ingin melihat sesuatu yang berbeza dalam persembahan saya,” tambahnya.
Persembahan ini juga merupakan sebahagian daripada siri jelajah Sal Priadi Zuzuzaza Tur 2024, di mana beliau akan menyampaikan lagu-lagu dari album keduanya, Markers & Such Pens Flashdisks. -UTUSAN