Pernah alami masalah mental, Shasha Abedul lega kondisi makin baik - Utusan Malaysia

Pernah alami masalah mental, Shasha Abedul lega kondisi makin baik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelakon, Shasha Abedul mendedahkan dirinya pernah mengalami masalah gangguan mental seperti depresi, keresahan berpanjangan sehingga diserang panik.

Menurut Shasha, situasi itu berlaku pada tiga tahun lalu sehingga menyebabkan dirinya perlu mendapatkan rawatan daripada pakar psikologi dan ahli terapi.

“Tiga tahun lalu, saya mengalami gangguan mental, ‘depression’, ‘anxiety’ dan serangan panik. Tapi saya tak sampai tahap nak cederakan diri sendiri. Bila tahun pertama saya rasakan perkara itu saya tak tahu macam mana nak mengawalnya.

“Saya pergi jumpa ahli terapi dan pakar psikologi untuk kenal pasti apa yang saya alami dan macam mana nak tangani,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Tambah Shasha, kini keadaan kesihatannya semakin membaik namun enggan bergantung dengan pengambilan ubat yang disarankan oleh doktor memandangkan dia turut menjalani sesi terapi.

“Selepas tahun ketiga, doktor ada bagi saya makan ubat. Tapi saya tak makan kerana saya tak mahu bergantung dengannya sebab itu juga saya jumpa ahli terapi.

“Jadi, saya dapat keseimbangan dari situ. Pakar psikologi, dia doktor yang memang akan bagi ubat. Kalau buat terapi, kita boleh kongsi apa yang kita rasa,” jelasnya ketika ditemui pada sidang media Projek: Exit, di sini, Selasa lalu.

Ditanya mengenai sikap sesetengah pihak yang skeptikal untuk mendapatkan rawatan sokongan, pelakon drama bersiri Projek: High Council berpendapat perkara itu merupakan langkah terbaik untuk membantunya sembuh dari terus dibelenggu masalah tersebug.

“Pada saya, itu terpulang kepada setiap individu untuk berjumpa dengan pakar. Setiap masalah ada penyelesaiannya. Kalau tak banyak, sikit supaya dapat bantu diri sendiri.

“Saya percaya, kalau kita jumpa orang yang lebih faham masalah yang tidak boleh nampak dengan mata kasar, saya rasa itu jalan yang terbaik,” katanya.

Dalam pada itu, Shasha yang bakal membintangi drama bersiri Projek: Exit turut berkongsi dia pernah diserang panik beberapa kali ketika penggambaran dijalankan.

“Bila saya bawa karakter Jannah dalam drama itu, sebenarnya beberapa peratus adalah diri saya sendiri. Bila dapat naskhah tersebut, saya tak rasa pun macam saya tengah berlakon. Saya rasa Tuhan dah persiapkan diri saya lebih awal.

“Saya juga beberapa kali diserang ketika ‘shooting’. Saya ingat lagi untuk babak terakhir untuk drama ini. Watak itu dah terlampau mengawal emosi saya. Saya diserang panik dan keresahan. Alhamdulillah, saya makin okay,” ujarnya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya