SEPANG: DAP menyifatkan permohonan maaf dibuat bekas Datuk Seri Najib Razak tidak membawa apa-apa makna.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berkata, bekas Perdana Menteri itu sudah dibuktikan bersalah oleh mahkamah malah, telah dijatuhi hukuman.
“Ini bukan soal terima apa-apa permohonan maaf. Permohonan maaf atau tidak jenayah tetap jenayah. Dia (Najib) telah pun disabitkan, dan dibuktikan oleh mahkamah dan didapati bersalah. Itu adalah fakta.
“Jadi pada saya, permohonan maaf itu tidak bawa apa-apa makna,” katanya ketika ditemui di majlis perasmian DHL Express Kuala Lumpur Gateway, di Kompleks Kargo, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, hari ini.
Sebelum ini, Najib membuat permohonan maaf berhubung salah laku dalam 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dibacakan oleh anaknya Datuk Mohamad Nizar.
Bagaimanapun, dalam kenyataan bekas Perdana Menteri itu kekal menyatakan beliau tidak bersalah dan meletakkan kesalahan kepada ahli perniagaan dalam buruan, Jho Low.
Malah, sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga telah menerima permohonan maaf Najib.
Ditanya mengenai pendirian DAP jika Najib diberikan hukuman tahanan di rumah, Anthony berkata, peruntukan tersebut belum diwujudkan kerana akta tersebut belum digubal.
Dalam masa sama, beliau berkata, jenayah serius tidak wajar diberikan hukuman sedemikian.
“Tiada peruntukan sedemikian di bawah undang-undang untuk sebarang tahanan rumah. Jadi, perbincangan mengenai undang-undang tahanan rumah yang sedang digubal, ia adalah mengenai reformasi penjara.
“Ini bukan soal Najib. Terdapat ambang tertentu bahawa jenayah tertentu tidak boleh dimasukkan ke dalam tahanan rumah. Dan, sudah tentu, jenayah yang serius tidak dibenarkan di bawah tahanan rumah,” jelasnya.
Sementara itu, beliau optimis hukuman tersebut tidak digubal semata-mata untuk meringankan hukuman Najib.
“Jadi, saya rasa ia bukan soal Najib berkenaan undang-undang baharu itu. Setakat Najib, dia masih menghadapi pelbagai pertuduhan,” katanya.
Sebelum ini jurucakap kerajaan, Fahmi Fadzil berkata, Rang Undang-Undang (RUU) baharu mengenai hukuman tahanan di rumah bukan untuk ‘membebaskan’ bekas Perdana Menteri itu atau orang kenamaan lain. – UTUSAN