Permohonan maaf Najib bukan untuk raih simpati - Wan Rosdy

Permohonan maaf Najib bukan untuk raih simpati – Wan Rosdy

WAN ROSDY WAN ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Permohonan maaf Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak semalam bukanlah bertujuan untuk meraih simpati.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, sebaliknya permohonan maaf bekas Perdana Menteri tersebut dianggap satu tindakan berjiwa besar.

Wan Rosdy turut menyifatkan tindakan Najib itu sebagai seorang yang dipertanggungjawabkan atas kesalahan yang beliau percaya sebenarnya tidak dilakukannya dan diperdaya mereka yang mengambil kesempatan.

“Saya meneliti kenyataan media yang dikeluarkan semalam. Saya dapat merasakan bahawa kenyataan tersebut telah dibuat dengan suci hati serta lahir daripada sanubari Najib yang ikhlas.

“Saya berpandangan bahawa kenyataan media tersebut juga menjelaskan betapa Datuk Seri Najib sepanjang menjalankan tanggungjawab beliau sebagai Perdana Menteri ketika itu, sentiasa memikirkan hanya yang terbaik untuk rakyat, sehingga ada pihak yang tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan ke atas keprihatinan beliau untuk menjaga kebajikan rakyat,” katanya di sini hari ini.

Beliau yang juga Menteri Besar Pahang berharap Najib dapat dibebaskan dan keadilan yang sebenar dapat ditegakkan.

Beliau turut berharap agar dalang kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dapat dibawa ke muka pengadilan.

Seminggu sebelum Mahkamah Tinggi di sini memutuskan sama ada Najib bersalah atau dibebaskan atas pertuduhan penyelewengan dana 1MDB, bekas Perdana Menteri itu membuat permohonan maaf secara terbuka kepada rakyat Malaysia menerusi kenyataan dibacakan anaknya, Datuk Mohamad Nizar di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, semalam.

Ia berhubung salah laku yang berlaku dalam 1MDB terutama ketika di bawah pengawasannya selaku Menteri Kewangan dan Perdana Menteri. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN