KANGAR: Kerajaan negeri menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama Dewan Perniagaan, Perindustrian dan Pelaburan Malaysia-Wuxi, China (DPPPM-WC) dalam mempromosikan Perlis sebagai destinasi pelaburan.
Selain itu, Mou tersebut juga bertujuan bagi merancakkan pembangunan di Kawasan Perindustrian Lembah Chuping (CVIA) dengan berfokuskan kepada empat kluster utama iaitu pembuatan hijau, hab bagi pensijilan dan pembuatan halal, kenderaan jimat tenaga dan tenaga boleh diperbaharui.
Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli berkata, kerjasama berkenaan merupakan langkah strategik dalam menggalakkan pelaburan asing di samping memperkukuhkan hubungan perdagangan antara Malaysia-China khususnya Perlis dan Wuxi.
“Saya percaya dengan kepakaran dan pengalaman dalam bidang perindustrian, DPPPM-WC dapat menjadi rakan kongsi yang ideal kepada kerajaan negeri untuk merealisasikan visi pelaburan Perlis,” katanya ketika ditemui selepas menandatangani MoU itu di Dewan Serbaguna, Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN), di sini, semalam.
Mengulas lanjut, Mohd. Shukri berkata, sebagai komitmen awal kepada kerajaan negeri, DPPPM-WC akan membawa sekurang-kurangnya satu atau dua pelabur menjelang suku tahun pertama 2025.
Beliau berkata, pihaknya amat positif kerjasama ini akan membuahkan pulangan yang baik susulan faktor lokasi CVIA yang strategik dan persekitaran sedia ada seperti projek Perlis Inland Port (PIP).
“CVIA bukan sahaja menawarkan peluang pelaburan yang cerah, tetapi juga komitmen kepada pembangunan yang mampan dan inovatif,” katanya.
Sementara itu, Naib Presiden DPPPM-WC, Dr Yazid Othman berkata, Perlis khususnya di kawasan CVIA berpotensi besar dalam pembangunan ekonomi baharu yang belum dimanfaatkan sepenuhnya oleh pemain-pemain industri serta pelabur dari dalam mahu pun luar negara.
Katanya, DPPPM-WC berkeyakinan Perlis akan muncul sebagai negeri berdaya maju dengan zon ekonomi mampan dalam tempoh 10 tahun akan datang.
“DPPPM- WC juga berhasrat untuk mengabungkan pembangunan antara sektor pertanian dan perindustrian dalam satu sektor ekonomi yang lebih berdaya maju di Perlis.
“Segala usaha ini bukan hanya dapat mempertingkatkan sektor ekonomi rakyat tempatan melalui penawaran pekerjaan malah membuka peluang perniagaan sampingan kepada mereka hasil pembangunan kawasan-kawasan ekonomi baharu,” katanya.-UTUSAN