Perlis dilanda banjir kilat, rumah penduduk dinaiki air paras lutut - Utusan Malaysia

Perlis dilanda banjir kilat, rumah penduduk dinaiki air paras lutut

RUMAH penduduk mula dinaiki air di Kampung Padang Pauh Beseri, Padang Besar, Perlis malam tadi.-UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Hujan lebat berterusan sejak malam tadi menyebabkan beberapa kawasan rendah di negeri ini dilanda banjir.

Antara kawasan yang terjejas di Kangar melibatkan Kampung Tok Kandang, Kampung Bakau dan Kamlung Baru. Di Arau di Kampung Bumbung Lima, Kampung Titi Besi, Kubang Gajah dan sekitar Jejawi manakala di Padang Besar pula melibatkan sekitar Beseri.

Jurucakap Angkatan Pertahanan Awam (APM) negeri memaklumkan, pihaknya menerima sebanyak 13 laporan banjir kilat  susulan hujan lebat  beberapa jam di seluruh negeri ini malam tadi.

“Hujan mula lebat antara pukul 7 malam hingga pukul 1 pagi dan terus berlarutan sehingga pukul 4 pagi,” katanya di sini hari ini.

Sementara itu, tinjauan di Padang Pauh hingga ke Balai Baru di Beseri mendapati lebih 30 buah rumah dinaiki air hingga paras lutut.

Beberapa lokasi rendah di kawasan Padang Besar, Kangar dan Arau juga dinaiki air susulan hujan lebat luar biasa kira-kira empat jam di seluruh negeri. 

Seorang penduduk, Shafezahanim Ahmad, 40, berkata, banjir kilat kali ini berlaku pantas dan paling teruk sepanjang tahun ini.

“Air naik cukup pantas dalam tempoh hanya setengah jam sahaja sehingga tidak sempat memindahkan barang dan hanya sempat membawa ibu saya yang  berkerusi roda ke tempat selamat.

“Mahu minta tolong jiran pun tidak sempat, rumah mereka turut digenangi air. Mujur ada rakan-rakan lain yang membantu kami untuk memindahkan ibu ke tempat selamat,” katanya.

Menurut Shafezahanim, dia telah beberapa kali memohon pihak berkaitan agar  segera membaiki sistem perparitan.

Wanita itu turut merayu agar pihak berkaitan sama ada pusat khidmat wakil rakyat dan agensi berkaitan seperti Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) turun padang menyelesaikan masalah dihadapi rakyat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya