Perkampungan India di seluruh negara kini di bawah seliaan KPKT - Utusan Malaysia

Perkampungan India di seluruh negara kini di bawah seliaan KPKT

NGA Kor Ming ditemui pemberita pada Malam Media Sempena Sambutan Deepavali di Ipoh semalam. - UTUSAN/ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Perkampungan India di seluruh negara kini berada di bawah tanggungjawab Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Menterinya, Nga Kor Ming berkata, keputusan itu dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim susulan pertemuan bersama Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) berbangsa India baru-baru ini.

Menurut beliau, sebelum ini tiada mana-mana kementerian mahupun pihak berkuasa yang menjaga perkampungan tradisi India berbanding kampung tradisi bangsa lain.

“Atas prinsip keadilan sosial dan tiada tertinggal mahupun terpinggir, Jemaah Menteri memutuskan untuk kampung tradisi masyarakat India dan Cina ini diletakkan di bawah KPKT, sama seperti kampung tradisi Melayu yang berada di bawah seliaan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).

“Maknanya, perkampungan itu juga akan menikmati keperluan asas untuk memastikan mereka dapat tinggal dalam persekitaran yang selamat dan selesa selain diberikan peruntukan secara berkala,” katanya ketika ditemui pemberita pada Malam Media Sempena Sambutan Deepavali di sini semalam.

Mengulas lanjut beliau berkata, kerajaan juga secara prinsip memberi peruntukan sebanyak RM10 juta pada tahun depan untuk perkampungan tradisi India.

“Peruntukan ini adalah bagi kerja-kerja pembinaan jalan, longkang, dewan orang ramai dan taman awam Madani selain menubuhkan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK),” katanya.

Dalam pada itu beliau berkata, pihaknya akan mengadakan kerjasama dengan kerajaan negeri bagi memperoleh data yang tepat berkaitan perkampungan India supaya pelaksanaan untuk pembangunan dapat dijalankan segera.

“Di Perak contohnya, terdapat tujuh perkampungan India yang sudah dikenal pasti termasuk di Buntong, Sungkai dan Hilir Perak selain tujuh lagi diletak dalam kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) namun belum diiktiraf.

“Jadi, selepas keputusan Jemaah Menteri ini, kita akan bincang dengan kerajaan negeri supaya baki kampung lagi yang masih belum diiktiraf ini boleh diberi pengiktirafan dan diberikan peruntukan secara berkala,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya