KAJANG: Suami isteri yang berkahwin di luar negara perlu mendaftar perkahwinan mereka bagi mengelakkan pendaftaran kelahiran anak-anak terjejas dan tiada kewarganegaraan.
Menteri Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, perkahwinan di luar negara mestilah didaftarkan dengan pejabat agama di Malaysia.
Menurut beliau, kegagalan berbuat demikian akan menyukarkan urusan kelahiran anak kerana sijil perkahwinan adalah satu rukun yang menentukan status warganegara setiap anak.
“Apabila berlaku kelahiran, wajib segera untuk mendaftar dalam tempoh 60 hari. Jika tidak dipenuhi maka ia termasuk dalam kategori pendaftaran lewat.
“Jika ada anggota masyarakat di luar sana yang melengah-lengahkan pendaftaran, hendaklah sedar bahawa perbuatan seperti itu akan menyusahkan anak-anak,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyerahkan sijil kelahiran MyKid kepada ibu tunggal empat anak, Hasmida Hamid di Hospital Kajang, hari ini.
Dalam pada itu, Hasmida,33 yang berkahwin di luar negara menerusi perkahwinan keduanya bersyukur penantian enam tahun untuk mendapatkan sijil kelahiran dan Mykid anak-anaknya tercapai.
“Bekas suami saya ini tidak ada usaha langsung untuk membuat dokumen anak-anak saya.
“Saya macam terkilan kerana bagi saya dokumen ini nyawa saya dan anak.
“Saya sudah usaha tapi memang tidak tercapai. Alhamdulillah, hari ini saya dapat dokumen anak-anak saya, saya sangat-sangat bersyukur,” katanya. – UTUSAN