Perak, Terengganu kongsi mata di Stadium Manjung - Utusan Malaysia

Perak, Terengganu kongsi mata di Stadium Manjung

PEMAIN Perak, Clayton Da Silveira Da Silva (kanan) cuba melepasi halangan Terengganu FC, Muhammad Safwan Mazlan dalam perlawanan Liga Super di Stadium Manjung hari ini. - UTUSAN/ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT: Terengganu terus kemarau kemenangan untuk enam perlawanan berturut-turut apabila diikat Perak 2-2 dalam saingan Liga Super di Stadium Manjung hari ini.

Perak terlebih dahulu mendahului perlawanan menerusi Luka Milunovic yang menyempurnakan tendangan penalti pada minit ke-9, selepas Clayton Da Silviera dijatuhkan dalam kotak penalti.

Clayton berpeluang menambah jaringan tuan rumah lima minit kemudian tetapi rembatannya tersasar ke kiri gol lawan.

Sebahagian besar babak pertama menyaksikan pasukan pelawat lebih banyak melakukan serangan ke kubu lawan.

Peluang pertama pelawat diperoleh minit ke-21 tetapi rembatan Azam Azmi Murad ditepis Muhammad Haziq Nadzli.

Sembilan minit kemudian, pemain kebangsaan itu sekali lagi melakukan rembatan yang juga ditepis Haziq.

Seminit selepas itu, tendangan percuma Safawi Rasid pula ditumbuk keluar oleh Haziq.

Gol penyamaan akhirnya hadir pada minit ke-44 selepas Nelson Bonilla Sanchez menolak masuk hantaran Manuel Gelito Ott.

Jaringan itu menjelma hasil kesilapan Luka Milunovic yang lewat mengeluarkan bola dari dalam kotak penalti sehingga berjaya dirampas Manuel Gelito.

Bermula babak kedua, Perak kembali mendahului selepas Luciano Guaycochea mudah menyudahkan sepakan penalti pada minit ke-57.

Penalti diberikan selepas penjaga gawang pelawat, Mohd. Suhaimi Husin melakukan kekasaran terhadap Jesper Nyholm.

Minit terakhir perlawanan menyaksikan pasukan pelawat berjaya menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti oleh pemain gantian, Nik Muhammad Sharif Haseefy Mohd Lazim.

Ia menjelma selepas Muhammad Safwan Mazlan dijatuhkan oleh Shivan Pillay dalam kotak penalti tuan rumah, memaksa kedua-dua pasukan berpuas hati dengan satu mata. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya