Perak sasar pelancong China, Jepun - Utusan Malaysia

Perak sasar pelancong China, Jepun

SAARANI Mohamad (dua dari kanan) menyampaikan anugerah pada majlis Anugerah Pelancongan Perak 2024 di Ipoh semalam. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Perak melihat pelancong dari China dan Jepun sebagai antara potensi pasaran antarabangsa kepada sektor pelancongan negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, menerusi kempen Tahun Melawat Perak 2024 (TMP 2024) yang sedang berlangsung, negeri itu meletakkan sasaran untuk menarik seramai 350,000 pelancong antarabangsa.

Beliau berkata, susulan penganjuran TMP 2024 juga diunjurkan sebanyak RM10 bilion pendapatan sektor pelancongan yang mampu dijana.

“Dengan adanya pasaran baharu seperti Jepun dan China, serta promosi domestik yang agresif dan berterusan, saya yakin bahawa Perak akan kekal sebagai destinasi pelancongan yang popular dan berdaya saing,” katanya semasa berucap dalam majlis Anugerah Pelancongan Perak 2024 di sini semalam.

Dalam majlis tersebut, sebanyak 46 kategori anugerah diberikan kepada pemain industri serta individu yang menyumbang terhadap perkembangan sektor pelancongan negeri Perak.

Semasa berucap juga, Saarani turut menyenaraikan beberapa pengiktirafan antarabangsa terhadap produk pelancongan negeri itu seperti Pulau Pangkor sebagai destinasi berbulan madu selain kopi tempatan Perak yang diiktiraf antara terbaik di dunia oleh Taste Atlas.

Katanya, dengan peningkatan ketibaan pelancong, sektor-sektor lain seperti perhotelan, pengangkutan, makanan, dan perkhidmatan turut mendapat manfaat.

Saarani juga melihat pelaksanaan TMP 2024 boleh mencipta momentum buat negeri itu sebagai destinasi pelancong sempena sambutan Tahun Melawat Malaysia 2026 akan datang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya