Perak bina makmal analisis mineral komersial pertama negara - Utusan Malaysia

Perak bina makmal analisis mineral komersial pertama negara

SAARANI Mohamad (tengah) melawat makmal pada majlis perasmian Terra Mineral Lab (TML) dan Pusat Kecemerlangan Penyelidikan Mineral di Gopeng hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GOPENG: Kerajaan negeri Perak menerusi Perbadanan Menteri Besar Perak (MB Inc) mewujudkan makmal analisis mineral bertaraf dunia dengan peruntukkan sebanyak RM12 juta.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, penubuhan Terra Mineral Lab Sdn. Bhd. Sdn. Bhd. (TML) dan Pusat Kecemerlangan Penyelidikan Mineral (CoE) akan mengukuhkan kedudukan negeri dalam peta industri mineral global.

“TML kini sedang dalam proses mendapatkan akreditasi MS ISO/IEC 17025 daripada Jabatan Standard Malaysia sebagai langkah pertama yang akan mengiktirafnya sebagai makmal komersial utama negara dalam analisis mineral.

“Projek Perintis Perlombongan Unsur Nadir Bumi Bukan Radioaktif (NR-REE) juga ada di negeri lain seperti Pahang, Kelantan, Johor dan Kedah jadi tidak perlu mereka bina makmal lain seumpamanya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Terra Mineral Lab (TML) dan Pusat Kecemerlangan Penyelidikan Mineral di Kawasan Perindustrian Gopeng 2 di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif MB Inc, Anuar Zainal Abidin.

Katanya lagi, kejayaan projek NR-REE di Kenering yang telah menjana royalti sebanyak RM29.73 juta kepada kerajaan negeri menjadi bukti kukuh potensi besar industri ini.

“Perkhidmatan yang disediakan tidak hanya terhad kepada kerajaan negeri malah turut diperluaskan kepada pelbagai pihak berkepentingan seperti pemain industri carigali dan perlombongan, industri penyelidikan dan lain-lain industri dari seluruh negara.

“TML dikendalikan oleh 15 pakar tempatan termasuk ahli kimia kanan, ahli kimia dan penolong ahli kimia berpengalaman luas,” katanya.

Ujarnya, pada masa kini, lebih 85 peratus pengeluaran lantanida dunia dikuasai oleh China.

“Oleh itu, dengan adanya TML, kita berada di landasan tepat untuk menyumbang kepada kepelbagaian rantaian bekalan global, sekaligus mengurangkan pergantungan dunia kepada suatu sumber.

“Kerajaan negeri mempunyai simpanan 5,000 ekar lagi lantanida di Kenering dan telah mengenalpasti kawasan lain yang mempunyai simpanan mineral bernilai tunggi yang mampu menyumbang pendapatan kepada kerajaan negeri,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya