Penyasaran subsidi RON95 tidak hanya berpandukan pendapatan isi rumah - Rafizi

Penyasaran subsidi RON95 tidak hanya berpandukan pendapatan isi rumah – Rafizi

RAFIZI Ramli menyampaikan hadiah pertandingan mewarna pada Majlis Sambutan Hari Statistik Negara 2024 dan Kick-Off Laman Statistik Jabatan Perangkaan Malaysia di Putrajaya. - UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Program penyasaran subsidi RON95 yang akan diperkenalkan kerajaan pertengahan tahun hadapan bukan hanya berdasarkan garis pendapatan isi rumah semata-mata.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, buat masa ini, ia (penyasaran subsidi RON95) bukan berdasarkan asas pendapatan isi rumah sebaliknya mengambil kira faktor-faktor lain.

“Saya boleh sahkan bahawa ia bukanlah menggunakan kaedah pendapatan isi rumah semata-mata seperti yang dirujuk kepada B40, M40 dan T15.

“Ia bukan kalau kamu gaji sekian-sekian kamu tak dapat (subsidi). Ia tak boleh potong line (ikut pendapatan isi rumah) sahaja, kita kena tengok pemboleh ubah lain dan bukan pukul rata.

“Banyak simulasi dan proses yang kita akan lakukan di antara Kementerian Ekonomi, Kementerian Kewangan, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dan jabatan-jabatan terbabit,” katanya ketika ditemui pada majlis sambutan Hari Statistik Negara 2024, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada kumpulan pendapatan maha kaya (T15) tidak lagi menikmati subsidi RON95 mulai pertengahan tahun depan.

Katanya, penentuan sama ada kumpulan pendapatan mana tidak layak menikmati subsidi RON95 juga akan mengambil kira faktor-faktor lain termasuk lokaliti dan tanggungan kerajaan.

Rafizi berkata, jumlah populasi sebenar T15 sedang diperhalusi kerajaan bagi memastikan bahawa setiap program penyasaran subsidi yang dilaksana kelak berlaku lebih adil kepada semua.

“Kita tahu bahawa pengukuran berdasarkan pendapatan isi rumah semata-mata sebenarnya banyak yang tercicir dan tidak adil.

“Memang kita ingin beralih kepada satu konsep yang dipanggil perbelanjaan bersih isi rumah yang mengambil kira perbelanjaan asas isi rumah bagi menjalani kehidupan wajar,” katanya.

Ditanya sama ada kerajaan akan membuka semula sistem pendaftaran Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) bagi yang terlepas sebelum ini, Rafizi berkata, jika data PADU itu akan menjadi asas kepada penentuan kelayakan subsidi maka, ia (pendafaran) wajar dibuka semula.

“Kalau itu keputusan kerajaan maka, ia akan dibuka semulalah,” katanya.

Sebelum ini, beberapa penganalisis mengandaikan kumpulan T15 adalah terdiri daripada isi rumah berpendapatan melebihi RM13,000 sebulan dan mereka sepatutnya tidak lagi layak menerima subsidi RON95. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya