PETALING JAYA: Seorang pemimpin Pas mahu kerajaan mempertimbangan beberapa mekanisme untuk pembelian minyak kenderaan untuk golongan T15 termasuk pemberian kad subsidi.
Yang Dipertua PAS Kawasan Johor Bahru, Dr. Mohd Mazri Yahya berkata, antaranya dengan rakyat membeli minyak dahulu dengan harga pasaran dan kemudian memohon reimbursement atau bayaran balik daripada kerajaan melibatkan 85 peratus rakyat yang layak.
Bagaimanapun katanya, cara itu akan lebih menyusahkan rakyat dan memerlukan pekerjaan tambahan kepada pegawai kerajaan yang menguruskan.
“Selain itu, kad subsidi yang diberikan kepada 85 peratus rakyat dan digunakan setiap kali membeli minyak. Subsidi minyak diletakkan siling kebiasaan minyak digunakan di dalam sebulan.
“Kad ini boleh digunakan bukan hanya minyak tapi semua bantuan subsidi kerajaan, permohonan biasiswa, bantuan kewangan dan sebagainya. Mungkin akan menyusahkan pada permulaan pelaksanaan tetapi memudahkan pada hari kemudian.
“Menggunakan kad pengenalan ketika membeli minyak. Ini akan menyusahkan pembeli minyak dan operator minyak dan kemungkinan disalahguna. Ada sebahagian T15 menggunakan perkhidmatan pemandu yang boleh sahaja menggunakan kad pengenalan mereka ketika membeli minyak.
“Pembelian minyak petrol seperti mekanisme pembelian diesel. Semua bayar harga yang sama tetapi kerajaan memberi bayaran subsidi kembali melalui Budi Madani misalnya,” katanya dalam Facebook.
Sebelum ini, kerajaan bercadang melaksanakan penyasaran subsidi petrol RON95 pada pertengahan tahun 2025.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, warga asing dan 15 peratus teratas pengguna maha kaya menikmati 40 peratus subsidi petrol RON95 bernilai RM8 bilion dengan dana itu lebih baik dimanfaatkan bagi peningkatan kemudahan pendidikan, kesihatan dan pengangkutan awam termasuk Orang Asli.
Dalam pada itu, Dr. Mazri berkata, beliau merasakan golongan T15 telah cukup dihukum meskipun berjasa membayar cukai untuk negara.
“Bukan sekadar bantuan subsidi tertentu, kemasukan anak ke sekolah dan universiti, penggunaan elektrik dan sebagainya dan malah sekarang penggunaan minyak pula.
“Tidak salah untuk menyumbang kembali kepada rakyat terutama pada masa yang memerlukan ini, tetapi janganlah menggunakan terma-terma yang tak masuk akal seperti golongan mahakaya dan sebagainya,” katanya.
Menurut beliau, malah mungkin sebahagian T15 dengan pendapatan isi rumah mereka lebih RM100-RM200 sahaja daripada tangga T16 dan ke atas.-UTUSAN