Penubuhan sekolah politik UMNO diperhalusi, akan disegerakan - Wan Rosdy - Utusan Malaysia

Penubuhan sekolah politik UMNO diperhalusi, akan disegerakan – Wan Rosdy

WAN ROSDY WAN ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Sekolah politik di bawah Biro Latihan dan Perkaderan UMNO sedang diperlalusi dan akan disegerakan penubuhannya seperti mana diumumkan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi semalam.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, penubuhan sekolah politik ini memerlukan banyak perbincangan dan tidak boleh diambil mudah.

“Saya akan mengadakan perbincangan lebih lanjut lagi sebab hanya semalam baru diberitahu (akan mengetuai sekolah politik).

“Dan dalam masa terdekat saya akan panggil dan kita akan melihat perkara ini dan perlu ada banyak perbincangan kerana sekolah politik ini bukan satu perkara yang boleh diambil mudah.

“Kita nak tengok silibus dia, modul dia macam mana, kumpulan sasar untuk siapa dan sebagainya. Tapi saya akan segerakan,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Pelancaran Bantuan Prihatin Pahang (BBP) 2024 kepada Masjid Dan Surau Kebenaran Jumaat, Maahad Tahfiz/Pondok, Pelajar Tahfiz/Pondok Dan Mualaf di Dewan Jubli Perak Sultan Ahmad Shah di sini.

Semalam, Ahmad Zahid memaklumkan Wan Rosdy akan mengetuai sekolah politik yang diputuskan penubuhannya. dua bulan lalu.

Sekolah politik ini akan menyediakan teori dan amali kepimpinan yang ditubuhkan di Institut Latihan Memperkasa Ummah (ILMU) di Janda Baik, Bentong dekat sini.

Mengulas lanjut, Wan Rosdy yang juga Menteri Besar berkata, sekolah politik tersebut akan melatih generasi baharu yang memiliki potensi untuk diketengahkan sebagai pelapis pemimpin parti.

“Pelapis-pelapislah kita panggil dan dalam pelapis-pelapis itu mungkin ada calon-calon yang kita sendiri pun tak tahu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN