Pentadbir, anak syarikat, pemain industri perlu kuasai teknologi tinggi - Utusan Malaysia

Pentadbir, anak syarikat, pemain industri perlu kuasai teknologi tinggi

Teknologi tinggi
AMIRUDIN Shari berucap pada Sesi Libat Urus RMK13 bersama Kerajaan Negeri Selangor, di Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Kepesatan produktiviti dalam sektor semikonduktor di Selangor yang mencapai sumbangan 62 peratus kepada pasaran dunia perlu dimanfaatkan pentadbir kerajaan negeri, anak syarikat dan pemain industri untuk menguasai teknologi tinggi serta meneroka bidang baharu.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, penguasaan tersebut adalah bagi memastikan sektor tersebut terus berkembang di negeri ini yang kini sedang menyumbang dalam industri aero angkasa dan automotif.

“Justeru pada hari ini kita perlu sedar dan memahami apakah cabaran-cabaran besar yang wajar kita melepasi sampai ke tahap sekarang. Antaranya kemampuan kita beradaptasi dengan teknologi.

“Ia perkara yang kita perlu lebih tangkas untuk menanganinya agar kita tidak terus menjadi feeder atau penyendal kepada industri dan sektor-sektor industri terbabit,” katanya pada Sesi Libat Urus Rancangan Malaysia Ke 13 (RMK-13), hari ini.

Jelasnya, teknologi terkini tidak boleh disaingi tetapi ia perlu dikuasai secara total agar usaha memajukan negeri dalam sektor tersebut dapat dilaksanakan dengan lebih mampan.

“Mungkin peringkat awal kita perlukan sokongan teknologi pakar tempatan secara individu atau syarikat juga pakar dari syarikat luar untuk kita bersedia menjadi pengeluar dan pembuat teknologi.

“Sebagai contoh lima tahun lepas kita mendengar tentang Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) tetapi pada hari ini semua orang bercakap tentang Kecerdasan Buatan (AI) sebagai teknologi terkini yang perlu dikuasai,” ujarnya.

Tambahnya lagi, tanpa kompromi bagi memastikan agenda memajukan negara amnya dan Selangor khususnya,teknologi baharu perlu dikuasai oleh semua pihak terutama pemain industri.

Untuk rekod, pada tahun lalu di negara ini terdapat lebih 240 syarikat aeroangkasa yang 62 peratus daripadanya terdapat di Selangor.

Perkembangan tersebut disumbang oleh kemudahan infrastruktur seperti jaringan pengangkutan jalan raya dan lebuh raya, bas dan kereta api lebih baik berbanding Selangor.

Malah, negeri ini turut menyumbang 25.9 peratus dalam ekonomi nasional selain memiliki gabungan industri yang baik daripada pembuatan sama ada dalam bidang automotif, elektrik dan elektronik atau logistik mahupun farmaseutikal. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya