Penjimatan subsidi dikembalikan kepada rakyat

Penjimatan subsidi dikembalikan kepada rakyat

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penjimatan berbilion ringgit menerusi rasionalisasi subsidi yang diperkenal kerajaan dikembalikan kepada rakyat dalam bentuk subsidi berbeza dan bantuan tunai.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Kerajaan Perpaduan mengambil tindakan berani untuk melaksanakan rasionalisasi subsidi walaupun menyedari ia bukan keputusan popular.

Sebaliknya, beliau berkata, pihaknya enggan mengambil jalan selamat dengan sekadar memberi janji kosong tanpa sebarang tindakan seperti dilakukan kerajaan terdahulu.

“Jika kami memilih jalan selamat dan tidak melakukan apa-apa pada masa sama mengetahui bahawa keadaan (ekonomi) berterusan hanya membawa negara ke arah bankrap, maka itu adalah pengabaian tanggungjawab moral untuk tadbir urus yang baik,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada Khazanah Megatrends Forum (KMF) 2024 di sini, hari ini.

Turut hadir Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan; Pengarah Urusan Khazanah Nasional Berhad, Datuk Amirul Feisal Wan Zahir dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

Perdana Menteri berkata, pelaksanaan rasionalisasi subsidi diesel, tarif elektrik dan pada masa sama mengapungkan beberapa harga barangan bukanlah untuk menyiksa rakyat.

Sebaliknya, beliau memberi jaminan bahawa majoriti rakyat yang layak terus menikmati subsidi manakala golongan kaya dan industri besar harus membayar apa yang sepatutnya dibayar.

“Berbilion ringgit yang dijimatkan kini disalurkan kembali kepada rakyat dalam bentuk subsidi lain dan pemindahan tunai.

“Itulah yang telah kerajaan lakukan dan akan terus lakukan, seiring dengan usaha kami meneruskan pembaharuan struktur secara berani,” katanya.

Anwar berkatai, kerajaan komited melaksanakan tadbir urus, kebertanggungjawaban dan keadilan sosial iaitu dengan memastikan manfaat pertumbuhan ekonomi diagihkan secara adil serta saksama.

“Setiap rakyat Malaysia berpeluang untuk maju. Mereka yang ditugaskan melaksanakan dasar kerajaan mestilah mematuhi standard tertinggi dalam tanggungjawab, ketelusan dan akautabiliti.

“Kerajaan tidak akan berkompromi dengan tegas, jelas dan proaktif dalam kempen menentang rasuah dan penyalahgunaan kuasa.

“Pembaharuan struktur juga harus membawa erti keberanian dan komitmen teguh untuk mengambil tindakan terhadap penjenayah, pengaut keuntungan yang tidak beretika dan penyalahguna kuasa yang jahat, tanpa rasa takut atau pilih kasih,” katanya.  –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya