Penjaja, peniaga berlesen wajib carum SKSPS tahun depan

Penjaja, peniaga berlesen wajib carum SKSPS tahun depan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penjaja dan peniaga berlesen diwajibkan mencarum dalam Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) mulai 1 Januari ini.

Caruman itu bertujuan menyediakan sokongan kewangan sekiranya berlaku bencana kerja kepada penjaja dan peniaga berlesen.

Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dalam satu kenyataan berkata, berdasarkan rekod bermula Januari hingga 31 Ogos lalu, seramai 53,901 individu mencarum SKSPS untuk sektor penjaja.

Katanya, sebanyak 189 kes tuntutan diterima dan diproses dengan pembayaran faedah keseluruhan untuk sektor terbabit mencecah RM681,174.90.

“SKSPS yang dikuatkuasakan sejak Jun 2017 berupaya menjadi jaminan kewangan dan kelangsungan kehidupan dengan menyediakan perlindungan keselamatan sosial dalam jangka panjang.

“Cakna dengan keperluan menyediakan jaringan perlindungan keselamatan sosial, semua penjaja dan peniaga termasuk kios yang menjalankan aktiviti pekerjaan sendiri dikehendaki mencarum SKSPS, dengan tempoh peralihan diperuntukkan selama empat bulan,” katanya hari ini.

Menurut pertubuhan itu, langkah mandatori itu dilaksanakan menerusi Peraturan-Peraturan Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (Kadar Caruman Bagi Penjaja atau Peniaga) 2024 yang diwartakan pada 30 Ogos lalu melalui PU (A) 229 dan berkuat kuasa pada 1 September lalu.

“Individu yang mempunyai sebarang lesen atau kelulusan bagi aktiviti berhubung menjaja atau berniaga sama ada tepi jalan mahupun pasar yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa di bawah Akta kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171), Ordinan Kerajaan Tempatan 1961 (Sabah No 11 1991) atau Ordinan Kerajaan Tempatan 1996 (Sarawak Bab 20) diwajibkan membayar caruman SKSPS PERKESO di bawah sektor penjaja,” katanya.

Perkeso menegaskan sektor penjaja adalah yang ketiga dijadikan mandatori untuk caruman SKSPS, selepas sektor perkhidmatan pengangkutan penumpang mulai 2017, serta sektor perkhidmatan pengangkutan dan penghantaran barangan atau makanan pada 2022.

“Perkeso akan terus bekerjasama dengan semua unit kerajaan tempatan dan pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negara sepanjang tempoh peralihan bagi meningkatkan kesedaran kepada peniaga serta penjaja, memandangkan mereka adalah sebahagian daripada pemacu ekonomi.

“Penjaja atau peniaga yang ingin mendaftar dan membuat caruman SKSPS boleh melakukan pendaftaran dan membuat bayaran caruman menerusi beberapa saluran,” katanya.

Pendaftaran dan pembayaran boleh dibuat melalui ‘Prihatin’ di telefon pintar, hadir ke 54 pejabat Perkeso seluruh Malaysia, portal MATRIX PERKESO www.matrix.perkeso.gov.my, atau ejen PERKESO yang sah atau melayari https://www.perkeso.gov.my/ejen-keselamatan-sosial-pekerjaan-sendiri.html. –UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya