KUALA LUMPUR: Seorang penjaga rumah amal yang dikaitkan dengan Global Ikhwan Services and Business (GISB) Holdings Sdn. Bhd. mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Selayang dekat sini atas pertuduhan menganiaya seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun yang ketika itu di bawah jagaan rumah berkenaan.
Mohd. Syahid Hanapiah, 35, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Lailatul Zuraida Harron @ Harun.
Menurut pertuduhan, lelaki itu sebagai seorang yang mempunyai pemeliharan terhadap kanak-kanak tersebut, didakwa merotan mangsa pada waktu pagi di antara bulan Februari dan September lalu di sebuah premis di Bandar Country Homes Rawang, dekat sini.
Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Lailatul Zuraida membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan kes disebut pada 5 November ini untuk lantikan peguam.
Mahkamah turut membenarkan permohonan pendakwaan dan mengenakan tiga syarat tambahan iaitu tertuduh dilarang berjumpa dan mengganggu mangsa serta saksi-saksi pendakwaan hingga kes selesai.
Tertuduh juga diarah melapor diri di balai polis berhampiran setiap awal bulan serta memastikan dirinya boleh dihubungi oleh pihak berkuasa pada bila-bila masa.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nurilya Ellyna Nor Azmal memohon jaminan tidak dikenakan terhadap tertuduh.
“Namun jika mahkamah bercadang menggunakan budi bicara, pihak pendakwaan mencadangkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin dan tiga syarat tambahan,” ujarnya.
Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon jaminan dikurangkan kerana dia berdepan masalah keluarga, kewangan dan kerja.
Polis melancarkan Op Global awal bulan lalu dan telah menyerbu rumah amal di seluruh negara yang dikaitkan dengan GISBH kerana disyaki terlibat dalam kegiatan eksploitasi kanak-kanak serta agama.
Hasil serbuan, seramai 572 mangsa berjaya diselamatkan selain membawa kepada penahanan 359 pengikut GISBH termasuk pengurusan tertinggi syarikat tersebut. – UTUSAN