Peningkatan gaji beri impak positif ekonomi domestik

Peningkatan gaji beri impak positif ekonomi domestik – DPMM Kedah

MOHD. ZAYAD MD. ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) Kedah menyambut baik langkah kerajaan menaikkan kadar gaji minimum, memandangkan peningkatan dalam pendapatan boleh guna akan memberi impak positif terhadap ekonomi domestik.

Yang Dipertuanya, Datuk Mohd. Zayad Md. Ismail berkata, peningkatan gaji dan pendapatan isi rumah sudah pasti akan menyumbang kepada pemulihan dan pertumbuhan ekonomi apabila permintaan domestik berkembang.

Pada masa sama ujarnya, peningkatan gaji berkenaan akan turut membantu merancakkan perniagaan berskala kecil seperti Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS).

“Perlu diakui pelaksanaannya sudah pasti akan menjejaskan perniagaan, namun perlu difahami bahawa kenaikan gaji juga akan membawa kesan lain iaitu selain meningkatkan kos operasi, ia turut meningkatkan permintaan pelbagai barangan dan perkhidmatan berikutan kesan pengganda.

“Seperti kata Perdana Menteri, penstrukturan ekonomi hanya dianggap berjaya apabila rakyat meraih gaji dan upah yang bermakna untuk menjalani hidup dengan lebih selesa,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Beliau mengulas pengumuman Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan pada Belanjawan 2025 bahawa kerajaan bersetuju menaikkan kadar gaji minimum daripada RM1,500 kepada RM1,700 sebulan berkuat kuasa 1 Februari 2025.

Bagaimanapun, Mohd. Zayad berpendapat, kadar gaji RM1,700 itu dilihat masih rendah dan tidak sejajar dengan sara hidup terutama mereka yang tinggal di bandar-bandar besar.

“Ini kerana satu daripada sebab utama ekonomi terbantut dan kurang mampan adalah fenomena kurang penggunaan yang berpunca daripada kuasa beli yang lemah akibat gaji yang rendah.

“Pada pendapat saya, pelaksanaan gaji minimum RM1,800 hingga RM2,000 sebulan adalah angka yang munasabah dalam keadaan ekonomi dan kos sara hidup sekarang. Tambahan lagi jika dilihat kepada kadar gaji negara kita yang jauh lebih rendah dibandingkan banyak negara lain,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau turut melihat kenaikan gaji itu boleh memberi tekanan kepada inflasi kerana apabila kos tenaga kerja meningkat, majikan mungkin terpaksa menaikkan harga barangan dan perkhidmatan bagi menampung kos tambahan.

Katanya, perkara itu boleh menyebabkan peningkatan harga di pasaran yang seterusnya memberi kesan kepada kuasa beli pengguna.

“Memang sudah ada kebimbangan mengenai ketidakupayaan PMKS untuk menyerap peningkatan kos ini. Jadi, sokongan kerajaan adalah perlu dengan menawarkan pelbagai insentif bagi membantu perniagaan kecil menyesuaikan diri seperti menyediakan insentif kewangan dan sokongan teknikal.

“Kelonggaran dari segi tempoh pelaksanaan bagi majikan yang mempunyai kurang lima ke 10 pekerja juga perlu dilanjutkan kepada tempoh yang lebih panjang bagi mengurangkan kejutan mendadak akibat kenaikan kos. Namun DPMM Kedah berharap majikan yang mampu agar menawarkan gaji lebih tinggi berbanding kadar gaji minimum ditetapkan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya