Pengurus Besar PPK Gerik tidak mengaku buat tuntutan palsu - Utusan Malaysia

Pengurus Besar PPK Gerik tidak mengaku buat tuntutan palsu

MOHD. Fuad Omar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini atas pertuduhan membuat tuntutan palsu lima tahun lalu. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Pengurus Besar Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Gerik mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan membuat tuntutan palsu bagi pembayaran penyelenggaraan kenderaan dan pembelian barangan, lima tahun lalu

Tertuduh Mohd. Fuad Omar, 40, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Datuk Ibrahim Osman.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa dengan niat memperdayakan PPK Gerik apabila mengemukakan satu invois atas nama sebuah syarikat bertarikh 30 September 2019 berjumlah RM1,975 bagi bayaran penyelenggaraan kenderaan pejabat jenis Toyota Hilux.

Lelaki itu mempunyai sebab untuk mempercayai ia mengandungi butiran matan yang palsu yang mana dokumen asal adalah invois atas nama dan tarikh sama adalah berjumlah RM288.30.

Bagi pertuduhan kedua, Mohd. Fuad didakwa mengemukakan dokumen kewangan atas nama sebuah syarikat bertarikh 11 September 2019 berjumlah RM1,155.20 bagi pembelian barangan untuk kegunaan di kedai Agrobazar PPK Gerik.

Tertuduh mempunyai sebab untuk mempercayai ia mengandungi butiran matan yang palsu iaitu dokumen asal atas nama syarikat dan tarikh sama adalah berjumlah RM167.60 dan ia bertujuan untuk mengelirukan prinsipalnya.

Pertuduhan terhadap lelaki itu dikemukakan mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(2) akta sama.

Sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana nilai lebih tinggi.

Dalam prosiding sama, tertuduh juga mengaku tidak bersalah bagi dua pertuduhan pilihan iaitu secara tidak jujur menggunakan satu dokumen sebagai tulen bagi tuntutan bayaran tersebut yang dipercayainya adalah palsu.

Bagi kesalahan yang dilakukan di lokasi, tarikh dan masa yang sama itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara hingga dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan, Pegawai Pendakwa SPRM, Mohd. Pahmi Ahmad dan Sharul Azuan Ghazali manakala tertuduh diwakili peguam, Raja Mohd. Iskandar Zulkharnian Raja Abdul Malek.

Terdahulu, Mohd. Pahmi mencadangkang tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan beserta syarat tambahan perlu melapor diri di Pejabat SPRM Ipoh pada setiap bulan.

Bagaimanapun, Raja Mohd. Iskandar memohon anak guamnya itu diberikan jaminan minimum dalam anggaran RM8,000 bagi kedua-dua pertuduhan atas alasan lelaki itu menanggung seorang isteri dan tiga anak yang masih kecil selain menghidap penyakit diabetes.

Ibrahim kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan selain perlu melapor diri di Pejabat SPRM Ipoh setiap bulan.

Mahkamah menetapkan 14 November depan untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya