Penguat kuasa tujuh agensi KPKM digabung

Penguat kuasa tujuh agensi KPKM digabung

Mohamad Sabu (dua,kiri) menerima buku senarai Semak Kecemerlangan Pengurusan Kewangan PTJ (KPKM) daripada Ketua Setiausaha KPKM, Datuk Seri Isham Ishak dalam Majlis Perhimpunan Bulanan (KPKM) Tahun 2024 di Putrajaya, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) akan menggabungkan penguat kuasa tujuh agensinya di bawah satu bumbung bagi memperkukuh kawal selia sektor agromakanan.

Tujuh agensi yang terlibat ialah Kawalselia Padi dan Beras (KPB); Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS); Jabatan Pertanian Malaysia (DOA); Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS); Jabatan Perikanan Malaysia (DOF); Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).

Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, apabila digabungkan, keanggotaan penguatkuasaan bagi sektor agro makanan negara akan mencecah seramai 2,030 orang dan berkuasa mengawal keseluruhan 14 akta di bawah KPKM.

Beliau berkata, cadangan itu akan dibawa kepada perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu mesyuarat pada 1 November ini.

“Penggabungan penguat kuasa itu akan membantu KPKM merealisasikan reformasi yang dibuat sekali gus memastikan penguatkuasaan berjalan dengan lebih optimum agar isu ketirisan, penyeludupan dibendung dengan lebih efektif.

“Reformasi yang sedang diusahakan ini bukanlah kerana ada agenda politik, tetapi ia dilakukan  untuk kebaikan dan masa depan industri,” katanya kepada pemberita selepas perhimpunan bulanan KPKM, di sini semalam.

Mohamad berkata, reformasi pentadbiran turut akan dilaksanakan di Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) dalam masa terdekat.

Mohamad berkata, KPKM menjadi kementerian pertama yang menyahut seruan Perdana Menteri untuk melaksanakan agenda reformasi perkhidmatan awam melalui penggabungan penguatkuasa di bawah KPKM,” katanya.

Menurutnya, penggabungan keanggotaan penguatkuasaan itu tidak membabitkan implikasi kewangan dan hanya membabitkan pertukaran dalaman.

Sementara itu, Mohamad berkata, sebanyak 32 cadangan dan inisiatif dikemukakan KPKM kepada Kementerian Kewangan (MOF) untuk dipertimbangkan bagi Belanjawan 2025.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, semua cadangan itu penting bagi memperkukuhkan pengurusan rantaian agro makanan negara sekali gus menjamin bekalan yang lebih tersusun dan berstruktur.

“Isu geopolitik dalam pertanian sering kali berkait rapat dengan kedaulatan negara, di mana kawalan terhadap sumber makanan dianggap lebih kritikal daripada aspek keselamatan fizikal.

“Dalam hal ini, KPKM menggalas tugas yang sangat besar bagi memastikan kecukupan dan keterjaminan makanan dalam negara tanpa perlu bergantung kepada sumber luar,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya