PETALING JAYA: Penggunaan MyDigital ID untuk aplikasi MyJPJ ditangguh sementara waktu, bukan dibatal seperti dilaporkan oleh sebahagian besar media kelmarin.
Mimos dalam satu kenyataan memaklumkan, dalam tempoh penangguhan itu, orang ramai masih boleh menggunakan log masuk MYJPJ sedia ada atau log masuk MyDigital ID untuk menggunakan aplikasi MyJPJ.
“Penangguhan ini bagi membolehkan proses integrasi antara Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Mimos berjalan lancar tanpa sebarang kecacatan serta menghapuskan sebarang kebimbangan dari segi keselamatan.
“Kementerian Pengangkutan Jalan dan JPJ bekerjasama rapat dengan Mimos dalam usaha memastikan pelaksanaan sepenuhnya penggunaan log masuk tunggal aplikasi MyJPJ,” kata kenyataan itu hari ini.
Sebelum ini, orang ramai tidak perlu menggunakan MyDigital ID untuk mendaftar masuk aplikasi MyJPJ bermula 10 Oktober ini.
Ini bermakna pengguna aplikasi MyJPJ boleh mendaftar masuk aplikasi berkenaan seperti biasa.
Media sebelum ini melaporkan pengguna MyJPJ perlu mendaftar masuk aplikasi itu menggunakan MyDigital ID bermula 10 Okt ini.
MyDigital ID merupakan satu bentuk pengenalan dan pengesahan diri individu secara digital, yang bakal dimanfaatkan sektor awam dan swasta untuk mengesahkan identiti pengguna semasa melakukan transaksi secara dalam talian.
Dalam pada itu, Mimos berkata, langkah penangguhan ini adalah sebahagian strategi menyeluruh bagi menjamin kejayaan dan kemapanan penggunaan MyDigital ID nanti.
“Mimos kekal komited dengan projek MyDigital ID, yang amat penting dalam mempermudah serta memperbaiki infrastruktur dan logistik pengangkutan Malaysia.
“Mimos juga mengambil maklum mengenai aduan sebahagian kecil pengguna yang sukar mengakses aplikasi MyJPJ dengan MyDigital ID,” katanya.
Mimos memaklumkan, setakat ini, 150,000 pengguna berjaya mendaftar ke dalam sistem ini tanpa sebarang masalah. – UTUSAN