PUTRAJAYA: Mungkin sudah menjangkakan keputusannya, tujuh pengganas yang melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong apabila menceroboh Kampung Tanduo, Lahad Datu, Sabah, 11 tahun lalu tidak menunjukkan sebarang ekspresi apabila Mahkamah Persekutuan sebulat suara mengekalkan hukuman mati terhadap mereka.
Tujuh pengganas itu ialah Datu Amirbahar Hushin Kiram, 60; anak saudara Jamalul Kiram yang mengakui dirinya Sultan Sulu; Atik Hussin Abu Bakar, 52; Basad H. Manuel, 49; Virgilio Nemar Patulada, 59; Al Wazir Osman,68; Tani Lahad Dahi,70 dan Julham Rashid, 75.
Panel tiga hakim diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Man yang bersidang bersama-sama Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim dan Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Nordin Hassan sebulat suara memutuskan demikian selepas menolak permohonan semakan tersebut.
“Ini keputusan sebulat suara kami. Permohonan semakan semua pemohon ditolak dan hukuman mati dikekalkan,” ujar Hakim Tengku Maimun.
Pada 8 Jun 2017, Mahkamah Rayuan meminda hukuman penjara sepanjang hayat yang dijatuhi Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu ke atas sembilan penceroboh Lahad Datu kepada hukuman mati selepas membenarkan rayuan pihak pendakwaan yang memohon agar hukuman lebih berat dikenakan.
Pada 15 Januari 2018, Mahkamah Persekutuan mengekal hukuman mati tersebut.
Bagaimanapun, dua daripada pengganas itu, Ismail Yasin dan Salib Akhmad Emali meninggal dunia sewaktu menjalani hukuman penjara.
Terdahulu, peguam, Mervyn @ Hasan Sainy yang dilantik Kedutaan Filipina bagi mewakili kesemua pemohon menghujahkan bahawa dapatan oleh Hakim Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu adalah tepat dan elok itu adalah wajar untuk mengembalikan hukuman penjara sepanjang hayat kepada mereka.
Tambahnya, tiada bukti langsung yang menunjukkan bahawa kesemua pemohon terlibat dalam pencerobohan itu dan sekiranya ada, penglibatan mereka adalah sedikit.
“Kesemua pemohon juga berusia lebih 50 tahun dan ada berusia lebih 70 tahun. Mohon mahkamah memberikan peluang kepada mereka,” katanya.
Bagaimanapun, Ketua Bahagian Rayuan dan Perbicaraan, Datuk Mohd. Dusuki Mokhtar membantah permohonan tersebut atas alasan ia memberi tanggapan dan mesej yang salah kepada orang luar dan terutama kepada rakyat tempatan.
“Mahkamah Rayuan ketika meminda hukuman (daripada penjara sepanjang hayat kepada hukuman mati) telah meneliti secara mendalam terhadap fakta kes berkenaan. (Sekiranya dibenarkan) ia akan memberikan tanggapan yang salah kepada mereka di luar sana.
“Kes ini melibatkan kedaulatan negara. Pencerobohan tersebut dilakukan oleh musuh luar dan kita tidak boleh menghantar mesej yang salah kepada masyarakat. Oleh itu hukuman mati perlu dikekalkan,” ujar Mohd. Dusuki yang dibantu Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Yusaini Amer Abdul Karim dan Tetralina Ahmad Fauzi.
Pada Februari 2013, negara ini digemparkan dengan pengganas Sulu yang menceroboh perairan Sabah secara berperingkat di Felda Sahabat, Lahad Datu.
Pencerobohan itu membawa kepada pertempuran pada 1 Mac 2013 di Kampung Tanduo sehingga menyebabkan 10 wira negara gugur manakala 68 pengganas Sulu ditumpaskan.
Tragedi berdarah itu diisytiharkan tamat pada 10 April tahun sama.
Seramai dua wira terkorban ketika pertempuran di Kampung Tanduo, Lahad Datu, Sabah iaitu Asisten Superintendan Zulkifli Mamat dan Sarjan Sabarudin Daud.
Sementara itu, wira-wira yang terkorban ketika pertempuran di Kampung Simunul, Semporna, Sabah ialah Asisten Komisioner Ibrahim Lebar, Deputi Superintenden Michael Padel dan Sarjan Mejar Detektif Baharin Hamit.
Turut terkorban, Sarjan Mejar Aziz Sarikun, Sarjan Sokongan Salam Togiran dan Koperal Mohd. Azrul Tukiran. – UTUSAN