Pengganas Lahad Datu mohon dilepaskan dari hukuman mati

Pengganas Lahad Datu mohon dilepaskan dari hukuman mati

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Esok, tujuh anggota pengganas warga Filipina yang terlibat dalam insiden pencerobohan bersenjata di Kampung Tanduo, Lahad Datu, Sabah, 11 tahun lalu, ‘mencuba nasib’ untuk dilepaskan daripada tali gantung.

Cubaan itu dikemukakan sejajar dengan pemansuhan hukuman mati mandatori yang berkuat kuasa 4 Julai 2023.

Tujuh pengganas itu ialah Datu Amirbahar Hushin Kiram, 60; anak saudara Jamalul Kiram yang mengakui dirinya Sultan Sulu; Atik Hussin Abu Bakar, 52; Basad H. Manuel, 49; Virgilio Nemar Patulada, 59; Al Wazir Osman, 68; Tani Lahad Dahi, 70, dan Julham Rashid, 75.

Mereka dijatuhi hukuman mati selepas didapati bersalah atas tuduhan Seksyen 121 Kanun Keseksaan iaitu melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong.

Sekiranya semakan hukuman mati itu berjaya, hukuman mati bagi tujuh pengganas itu boleh ditukar kepada hukuman penjara antara 30 dan 40 tahun dan ia menjadi kali kedua pengganas-pengganas itu terlepas daripada hukuman mati.

Pada 26 Julai 2016, kesemua pengganas itu dihukum penjara seumur hayat oleh Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu.

Mahkamah Tinggi dalam penghakimannya menyatakan tiada keterangan yang menunjukkan kesemua tertuduh terbabit secara langsung dalam pertempuran yang berlaku semasa pencerobohan itu, ataupun bukti mereka membunuh mana-mana anggota keselamatan secara kejam atau mencederakan sesiapa.

Bagaimanapun, hukuman itu diketepikan oleh Mahkamah Rayuan pada 8 Jun 2017 selepas membenarkan rayuan pihak pendakwaan yang memohon agar hukuman lebih berat dikenakan.

Pada 15 Januari 2018, Mahkamah Persekutuan mengekal hukuman mati tersebut.

Perbicaraan kes itu bermula pada 6 Januari 2014 di Mahkamah Tinggi di Kota Kinabalu membabitkan 30 individu termasuk seorang wanita yang didakwa atas pelbagai tuduhan berkait pencerobohan itu.

Perbicaraan peringkat pendakwaan berjalan selama 239 hari dan seramai 166 saksi dipanggil memberi keterangan manakala pada peringkat bela diri, seramai 20 orang dipanggil memberi keterangan sebagai saksi pembelaan dalam tempoh 24 hari.

Wanita itu, Norhaida Ibnahi, rakyat Filipina yang tinggal di Sabah, dijatuhi hukuman penjara 10 tahun oleh Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu selepas dia disabitkan kesalahan melindungi seorang anggota kumpulan pengganas yang menceroboh Kampung Tanduo.

Dia tidak mengemukakan rayuan manakala seorang tertuduh lelaki, Habil Suhaili telah meninggal dunia sewaktu perbicaraan masih berjalan akibat serangan asma teruk.

Selain itu, seorang anggota polis, Detektif Koperal Hassan Ali Basari yang merupakan warga tempatan berasal dari Semporna, Sabah turut didakwa berkait insiden pencerobohan itu.

HUKUMAN PENJARA

Pada 6 Ogos 2014, Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu menjatuhkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun ke atas Hassan selepas tertuduh didapati bersalah mengikut Seksyen 130 Kanun Keseksaan kerana menyimpan maklumat berkenaan aktiviti pengganas di Sabah.

Pada 7 Februari 2018, Mahkamah Rayuan mengekalkan hukuman tersebut selepas menolak rayuan lelaki itu.

Pada Februari 2013, negara ini digemparkan dengan pengganas Sulu yang menceroboh perairan Sabah secara berperingkat di Felda Sahabat, Lahad Datu.

Pencerobohan itu membawa kepada pertempuran pada 1 Mac 2013 di Kampung Tanduo sehingga menyebabkan 10 wira negara gugur, manakala 68 pengganas Sulu ditumpaskan.

Tragedi berdarah itu diisytiharkan tamat pada 10 April tahun yang sama.

Seramai dua wira terkorban ketika pertempuran di Kampung Tanduo, Lahad Datu, Sabah iaitu Asisten Superintendan Zulkifli Mamat dan Sarjan Sabarudin Daud.

Sementara itu, wira-wira yang terkorban ketika pertempuran di Kampung Simunul, Semporna, Sabah adalah Asisten Komisioner Ibrahim Lebar, Deputi Superintendan Michael Padel dan Sarjan Mejar Detektif Baharin Hamit.

Turut terkorban, Sarjan Mejar Aziz Sarikun, Sarjan Sokongan Salam Togiran dan Koperal Mohd. Azrul Tukiran. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya