Pengerusi ASEAN 2025: Peranan Malaysia angkat kedudukan ASEAN - Utusan Malaysia

Pengerusi ASEAN 2025: Peranan Malaysia angkat kedudukan ASEAN

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Malaysia akan memainkan peranan membawa ASEAN ke satu kedudukan lebih baik sepanjang tempoh menjadi Pengerusi ASEAN pada tahun depan.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil berkata, Malaysia secara rasmi akan menerima kepengerusian ASEAN pada 11 Oktober ini daripada Laos.

Beliau memaklumkan, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengetuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 serta Sidang-sidang Berkaitan bermula hari ini hingga 11 Oktober ini di Vientiane, Laos.
“Malaysia akan secara rasminya menerima kepengerusian ASEAN bagi tahun 2025 dan sudah pasti kepengerusian ASEAN ini bagi tahun 2025 adalah satu perkara yang cukup dinantikan.

“Malaysia akan mainkan peranan untuk pastikan ASEAN itu sendiri berada pada satu kedudukan yang lebih baik. Insya-Allah, kita harap dan menegaskan beberapa prinsip yang dipegang oleh ASEAN,” katanya.

Malaysia sebelum ini pernah memegang jawatan Pengerusi ASEAN sebanyak empat kali iaitu pada 1977, 1997, 2005 dan 2015.

Dalam pada itu, Fahmi berkata, Mesyuarat Kabinet hari ini turut menyatakan pendirian Malaysia kekal dengan pendirian untuk memberi sokongan padu terhadap perjuangan rakyat Palestin untuk penubuhan sebuah negara Palestin yang merdeka dan berdaulat berdasarkan sempadan pra-1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu kota.

Wisma Putra dalam kenyataan hari ini memaklumkan yang Malaysia menyeru komuniti antarabangsa untuk bersatu, mengambil tindakan tegas, dan mendakwa rejim Zionis Israel atas jenayahnya terhadap rakyat Palestin.

Pada masa sama, Fahmi turut memaklumkan, sidang Parlimen akan bermula Isnin ini dan Perdana Menteri akan membentangkan Belanjawan 2025 pada 18 Oktober depan.

“Dalam mesyuarat tadi ada dibangkitkan beberapa perkara persiapan dalam kalangan Menteri untuk memastikan usaha menjawab soalan dengan baik dan tahap kesiapsiagaan untuk membentangkan sejumlah rang undang-undang dan usul-usul yang mungkin dibincang dan dibahaskan.

“Jemaah Menteri akan bermesyuarat (mengenai Belanjawan 2025) pada pagi Jumaat 18 Oktober itu dan akan mendapat maklumat mutakhir mengenai beberapa keputusan dan bakal pengumuman dan ia tertakluk apa yang disampaikan Perdana Menteri dan disahkan oleh Kementerian Kewangan.

“Waktu ini kita ada mendapat sedikit maklumat tetapi belum muktamad saya tidak ada sebarang maklumat tambahan dan tidak ada spekulasi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya