MELAKA: Seorang pengarah syarikat dan seorang jurutera direman lima hari bagi membantu siasatan selepas disyaki memberi dan menerima suapan berjumlah RM2,000 sebagai dorongan mendapatkan projek berkaitan sewaan jana kuasa (genset) bernilai RM90,000, tahun lalu.
Perintah reman sehingga 27 Oktober ini dikeluarkan Majistret Sharda Shienha Mohd. Suleiman terhadap dua suspek lelaki berusia lingkungan 40-an dan 60-an.
Suspek ditahan antara pukul 1.30 tengah hari hingga 2 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Melaka.
Menurut sumber, siasatan awal mendapati kedua-dua suspek dipercayai melakukan perbuatan tersebut sekitar November 2023.
Katanya, salah seorang suspek iaitu pengarah syarikat dipercayai telah memberi rasuah kepada jurutera terbabit sebanyak RM 2,000 melalui pindahan ke akaun bank milik isterinya sebagai dorongan mendapatkan projek berkaitan sewaan genset bernilai kira-kira RM90,000.
Sementara itu, Pengarah SPRM Melaka, Adi Supian Shafie mengesahkan penahanan tersebut dan kes disiasat di bawah Seksyen 16 (a) (A) Akta SPRM 2009 dan 16 (b) (A) akta sama. – UTUSAN