TIGA dekad bergelar penghibur, nama Hasnol Hassan Ari , atau Hasnol, sampai hari ini masih utuh dalam dunia seni suara tanah air.
Populariti yang dimiliki Hasnol sekitar era 90- an antara faktor yang membuatkan penyanyi ini bertahan sampai sekarang.
Dan tidak dinafikan, lagu berhantu Laguku Untukmu jugalah antara rezeki ditentukan untuk penyanyi yang berasal dari Kuala Lumpur ini. Hasnol sendiri akui perkara itu. Lebih 30 tahun usia lagu itu.
Tetapi sampai sekarang ia masih diputarkan di radio dan menjadi antara track pilihan di pusat karaoke.
“Saya hanya mampu bersyukur. Lagu ini rezeki untuk saya. Ia menjadi permintaan setiap kali saya membuat persembahan. Sampai ada yang sanggup bayar RM10,000 untuk saya nyanyikannya.
“Saya tidak nafikan, tinggi nilai lagu ini. Mungkin ada penyanyi yang nyanyikannya lebih baik daripada saya. Tapi pendengar tetap mahukan penyanyi asal,” katanya.
Mengimbau sejarah lama, Hasnol memaklumkan lagu itu pada asalnya dicipta untuk penyanyi lain.
“Lagu Persimpangan Dilema (dipopularkan Datuk Nora) pada awalnya dibuat untuk saya. Tapi atas permintaan Allahyarham Johan Nawawi, Allahyarham Adnan Abu Hassan serahkan kepada Nora.
“Jadi, Adnan gantikan untuk saya Laguku Untukmu, yang sebenarnya dicipta untuk Datuk Aishah,” ceritanya.
Antara lagu lain yang melonjakkan nama Hasnol adalah Gadis Sarawak. Gara-gara lagu itu, Hasnol dikenali serata Sarawak.
“Disebabkan lagu itu, dulu, setiap minggu saya berulang alik dari Semenanjung ke Sarawak untuk penuhi permintaan membuat persembahan. Ibaratnya, Sarawak sudah jadi rumah kedua saya.
“Dulu saya diberitahu penyampai radio di Sarawak, lagu ini menjadi antara yang paling awal diputarkan setiap pagi.
“Disebabkannya saya popular di sana, kumpul ramai peminat yang tunggu kemunculan saya di Lapangan Terbang sebaik sahaja tiba di Sarawak,” jelasnya.
BERKAT DORONGAN MAK AYAH
Hasnol bertuah kerana minat nyanyiannya disokong penuh kedua orang tuanya. Katanya, sejak usia remaja, dia aktif menyanyi dan menyertai pelbagai pertandingan.
“Mak ayah gembira saya ada bakat menyanyi. Jadi, mereka bersungguh-sungguh asah. Yang paling mendorong ialah ibu saya.
“Dia sokong saya masuk pertandingan. Dan setiap kali bertanding, saya selalu mendapat tempat, sama ada johan atau tempat ketiga.
“Orang tua saya nampak masa depan yang cerah untuk saya dalam bidang nyanyian. Sebab itu, mereka galakkan,” katanya.
Pembabitan Hasnol dalam dunia hiburan bertitik tolak pada tahun 1991, selepas dia menyertai Sony Music Voice of Asia.
Meskipun sekadar di tempat ke-4, titik itulah yang membuka pintu kepada Hasnol masuk ke dalam dunia nyanyian.
“Saya ingat lagi, pertandingan itu berlangsung di Live Centre Kuala Lumpur. Antara peserta lain ialah Ning Baizura.
“Johan menjadi milik Mindy Quah, Ning ditempat ketiga manakala saya ke-4. Selepas pertandingan itu, finalis dibawa ke merata tempat, hadir acara dan membuat persembahan.
“Itu pengalaman awal menjadi artis, sebelum album pertama saya, Sudi Katakan Sudi, diterbitkan,” katanya.
ASAM GARAM DUNIA ARTIS
Tiga dekad menjadi penyanyi, Hasnol menelan asam garam dunia artis. Dari zaman kegemilangan sampailah kejatuhan. Semua menjadi pengalaman mematangkan buat penyanyi bersuara lunak ini.
“Terlalu banyak pengalaman. Saya merasai zaman meniti populariti, dikenali kerana lagu Gadis Sarawak yang membuatkan saya terkenal di Sarawak.
“Saya tidak pernah terfikir dulu saya ada peminat fanatik. Pernah dikawal pengawal keselamatan ketika mengikuti konsert jelajah ke lima daerah di Sarawak pada 1993. Di situlah saya merasai pengalaman baju dikoyakkan peminat fanatik,” kongsinya.
Kata Hasnol lagi, keselamatan sentiasa menjadi perkara yang diitik beratkan seorang selebriti.
Itu berdasarkan pengalaman berdepan ancaman pihak berniat jahat yang menyimpan dendam dan amarah kepada dirinya sendiri.
“Pernah sampai ada sekumpulan individu yang cuba membuat kacau ketika saya membuat persembahan di Pertama Kompleks pada 1992. Dikatakan gara-gara diminati isteri orang.
“Disebabkan diminati juga saya puas disihir. Selalu bermasalah ketika hendak membuat persembahan. Mengalami sakit dan sebagainya.
“Selepas perkahwinan pertama pada 1994, saya perlahankan kerjaya nyanyian fokus keluarga dan buat kerja lain. Saya ketika itu sudah penat dengan cubaan orang yang mahu menjatuhkan dengan menghantar sihir,” ceritanya.
JODOH DI USIA 54 TAHUN
Hasnol bertemu jodoh lagi pada usianya mencecah 54 tahun. Penyanyi ini tidak pernah menjangka bakal bergelar suami buat kali ketiga.
Kegagalan pada perkahwinan terdahulu tidak pernah menutup pintu hatinya untuk berkahwin lagi.
Namun Hasnol mengambil pendekatan untuk merahsiakan suri hati pilihannya, dan tarikh perkahwinan sehingga semuanya ditetapkan kelak.
“Tak pernah terfikir saya akan berkahwin lagi. Inilah dikatakan jodoh, ketentuan Allah.
“Yang boleh saya kongsikan, bakal isteri 10 tahun lebih muda daripada saya. Saya duda, dia pula masih solo. Selebihnya akan saya umumkan bila tiba masanya kelak,” kongsinya.
Kata Hasnol, dia kekal berharap mahligai yang bakal dibina nanti menjadi yang terakhir dan berkekalan sampai penghujung usia.
“Tak ada masalah untuk memperisterikan wanita lebih muda. Malah lebih baik apabila si suami lebih berusia kerana lebih matang.
“Kami masih dalam proses mengenali. Insya-Allah lepas kahwin saya akan gantung mikrofon. Mahu fokus rumah tangga dan perniagaan yang bakal kami usahakan bersama,” ujarnya.