Penganggur tak mengaku merompak, mencederakan

Penganggur tak mengaku merompak, mencederakan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang penganggur mengaku tidak bersalah di tiga buah Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas empat pertuduhan merompak dan mendatangkan kecederaan, antara Mac dan Ogos lalu.

Di hadapan Hakim Norina Zainol Abidin, tertuduh M. Thanabalan, 38, didakwa telah merompak wang tunai RM885 milik seorang warga Korea, Lee Hyeonjoo, di Jalan Ang Seng 2, berhampiran Sri Impian Kondominium Brickfields, pada pukul 6.30 pagi, 18 Mac lalu.

Lelaki itu juga didakwa merompak sebuah ipad, kad pengenalan, kad debit, wang tunai, cermin mata, kunci rumah dan alat pengecas mudah alih milik Rebecca Mathews yang menyebabkan mangsa mengalami kerugian RM3,000 di hadapan Stesen Minyak Petronas, Brickfields pada pukul 6.50 pagi, 7 Oktober lalu. 

Di hadapan Hakim Siti Shakirah Mohtarudin, tertuduh didakwa merompak harta milik Hazwani Ahmad Zaidi, 29, menyebabkan mangsa mengalami kerugian RM3,500 di tepi Jalan Ang Seng berdekatan Menara Berkembar Bank Rakyat, pada pukul 7.40 pagi, 12 Oktober lalu. 

Ketiga-tiga pertuduhan itu didakwa mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan denda atau sebatan, jika sabit kesalahan.

Kesemua kes itu ditetapkan untuk sebutan semula pada 25 November ini. 

Sementara itu, di hadapan Hakim Egusra Ali, Thanabalan didakwa meragut beg tangan dan mendatangkan kecederaan terhadap seorang wanita berusia 78 tahun di tepi Jalan Limau Manis, Bangsar pada pukul 7.30 pagi, 7 Oktober lalu. 

Perbuatan itu didakwa mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebatan, jika sabit kesalahan.

Kes itu ditetapkan untuk sebutan semula pada 28 November ini.

Pada prosiding hari ini, pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya, Nadia Eleena Jamaluddin, Joshua Tee Yee Khuan dan Nidzuwan Abd. Latif manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya