GEORGE TOWN : Seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan cuba mengaibkan kehormatan seorang anggota polis trafik, Rabu lalu.
Tertuduh, Goh Weng Keong, 25, bagaimanapun mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan itu dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Nadratun Naim Mohd. Saidi oleh seorang jurubahasa.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa mengaibkan kehormatan Koperal Nik Muhammad Faizal Nik Long, 40, dengan menyebut perkataan kesat dengan maksud supaya perkataan itu didengar dan mengganggu kesantunan.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di hadapan perhentian bas Jalan Thean Teik, Ayer Itam, kira-kira pukul 6.45 petang, 2 Oktober lalu.
Sehubungan itu, tertuduh didakwa telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, M. Darrshini manakala tertuduh pula tidak diwakili sebarang peguam.
Terdahulu, ketika sesi prosiding, Darrshini menawarkan jaminan sebanyak RM9,000 berserta syarat tambahan iaitu tertuduh tidak dibenarkan menganggu saksi pendakwaan.
Mahkamah kemudiannya membenarkan jaminan sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin dan menentapkan tarikh 14 November depan sebagai sebutan semula kes.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, seorang lelaki menerima padah apabila ditahan di sebuah rumah di Taman Paya Terubong, Air Itam di sini semalam selepas disyaki mengeluarkan kata-kata kesat kepada seorang anggota polis trafik.
Ia susulan penularan satu rakaman video berdurasi tiga minit 28 saat mengenai kejadian tersebut di aplikasi WhatsApp sejak petang semalam.-UTUSAN