Penganggur dipenjara setahun ceroboh rumah bekas kekasih

Penganggur dipenjara setahun ceroboh rumah bekas kekasih

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR:  Mahkamah Majistret Ampang dekat sini menjatuhkan hukuman penjara setahun terhadap seorang penganggur yang mengaku bersalah atas tiga pertuduhan termasuk menceroboh dan memecahkan pintu kaca serta merosakkan tombol pintu rumah bekas teman wanitanya.

Majistret Amalina Basirah Md. Top menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd. Imran Othman, 32, dan memerintahkannya menjalani hukuman bermula dari tarikh tangkap pada 25 September lalu.

Pertuduhan pertama, lelaki itu didakwa menceroboh dengan memasuki rumah milik bapa teman wanitanya di Taman Melawati, pada 1.30 tengah hari, 18 September lalu.  

Dia didakwa mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda maksimum RM5,000 atau kedua-duanya.

Mohd. Imran juga didakwa atas pertuduhan kedua melakukan khianat dengan memecahkan pintu kaca serta tombol pintu rumah mangsa sehingga mengakibatkan kerugian berjumlah RM41,580 di lokasi dan masa sama.

Dia didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara tidak kurang setahun dan maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Selain itu, tertuduh didakwa berkelakuan tidak senonoh terhadap wanita berumur 24 tahun itu dengan mengeluarkan ugutan terhadapnya.

Kesalahan didakwa dilakukan mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-kesalahan Kecil 1955 dengan memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100.

Berdasarkan fakta kes, wanita berkenaan mendengar satu balingan batu ke arah tingkap bilik lalu melakukan pemeriksaan. Dia mendapati bekas teman lelakinya berada dalam kawasan rumah sedang memecahkan pintu kaca menggunakan besi dumbel sambil menjerit nama mangsa.

Mangsa melarikan diri dan bersembunyi dalam tandas biliknya sambil menghubungi 999 manakala tertuduh menendang serta menggunakan besi dumbel untuk memecahkan pintu bilik mangsa, namun tidak berjaya.

Tertuduh kemudian menyelinap masuk melalui balkoni dan memecahkan tingkap bilik mangsa sambil berkata “Kau keluar sekarang aku nak hentam kau, jika tidak aku akan cuba masuk bilik kau” sebelum pasukan polis tiba di lokasi kejadian beberapa minit kemudian.

Timbalan Pendakwa Raya Norhidayah Abdullah Sani memohon mahkamah mengenakan hukuman berat dengan mengambil kira kesalahan yang dilakukan tertuduh menyebabkan mangsa mengalami trauma.

“Saya juga mohon mahkamah mengambil kira jumlah kerugian yang dialami mangsa adalah besar akibat perbuatan tertuduh serta mengambil kira kepentingan awam melebihi kepentingan tertuduh,” katanya.

Peguam Nadia Irwanita Mohamed Rosli daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) memohon hukuman ringan atas alasan pengakuan tertuduh telah menjimatkan masa serta kos semua pihak selain tertuduh telah insaf dan memberi alasan kejadian itu adalah salah faham dengan bekas teman wanitanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya