Penduduk siap sedia hadapi gelombang ketiga banjir - Utusan Malaysia

Penduduk siap sedia hadapi gelombang ketiga banjir

KAKITANGAN SK Lintang mengumpul peralatan dan barangan yang rosak akibat banjir di Sungai Siput ketika tinjauan hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI SIPUT: Penduduk di sini bersiap sedia berdepan kemungkinan gelombang ketiga banjir besar yang diramal berlaku dalam beberapa hari lagi.

Sejak kelmarin, rata-rata penduduk di kawasan Lintang dan Lasah sudah beransur-ansur kembali ke rumah masing-masing buat sementara untuk membersihkan kediaman mereka.

Seorang penduduk, Zulkifli Tak, 62 tahun berkata, dia minta pelepasan sementara daripada pusat penempatan sementara (PPS) untuk melihat keadaan rumahnya dan cuba membuat pembersihan serta menyelamatkan harta benda yang masih ada.

Namun jelasnya, dia bersama ahli keluarga lain tetap diminta untuk pulang ke PPS semula kerana diramalkan akan berlaku hujan lebat yang berisiko menyebabkan air naik kepada paras bahaya.

Seorang penduduk, Muhammad Asnawi Ahmad Murad, 24 tahun berkata, dia pulang sementara untuk membersihkan rumahnya yang hampir ditenggelami air sepenuhnya dalam kejadian banjir.

“Gelombang pertama berlaku pada Ahad. Kemudian air surut dan kami kembali untuk membersihkan rumah pada keesokkannya. Namun rumah sekali lagi hampir ditenggelami air apabila gelombang banjir kedua berlaku pada Selasa,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Jelasnya, rumahnya itu baru siap tiga bulan lalu dan membuat anggaran awal kerugian hampir RM30,000 terutama perabot dan barangan elektronik akibat banjir

Hasil tinjauan juga, beberapa peniaga dan kakitangan sekolah di kawasan Lintang mula berada di tempat masing-masing untuk melakukan pencucian premis masing-masing.

Seorang penduduk, Kharuddin Ali, 52 tahun berkata, kejadian banjir yang sedang melanda memberikan trauma kepada dirinya dan keluarga yang menyaksikan rumah mereka dinaiki air.

“Setiap kali lihat awan tebal, saya mula risau. Trauma berdepan banjir ini. Kini dimaklumkan ada ramalan berlaku gelombang ketiga. Saya doakan keluarga saya dan semua yang lain selamat,” katanya ketika ditemui di PPS Sekolah Menengah Kebangsaan RLKT Lasah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya