Penduduk resah tahun ini empat kali air banjir masuk rumah

Penduduk resah tahun ini empat kali air banjir masuk rumah

ANAK-anak Razak Mohamad membersihkan rumahnya di Jalan Talapia yang dimasuki air akibat banjir kilat petang ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLUANG: Beberapa rumah di Taman Indah Jaya di sini dimasuki air selepas hujan lebat 45 minit dan ini adalah kejadian ketiga dan keempat pada tahun ini.

Penduduk di  Jalan Talapia, Razak Mohamad, 55, berkata, punca utama kejadian itu apabila air longkang dari Taman Matahari  yang lebih tinggi mencurah masuk ke dalam longkang di Taman Indah Jaya. 

Katanya,  daripada situ air longkang di Taman Indah Jaya pula melimpah sehingga melepasi tebing dan memasuki sebahagian rumah penduduk dan menyebabkan berlaku banjir kilat. 

“Sepanjang tahun ini sudah tiga atau empat kali berlaku di kawasan perumahan ini dan juga telah dimaklumkan kepada pihak berkaitan untuk tindakan namun belum ada tindakan.

“Memandangkan tidak lama lagi  musim monsun timur laut dikhuatiri perkara sama akan terus berlaku,” katanya ketika ditemui hari ini. 

Kata Razak, setiap kali rumahnya dimasuki air dia dan ahli keluarga kena membersihkan rumah manakala barang-barang elektrik perlu dialihkan ke tempat tinggi.

Sementara itu, Ahli Majlis di Majlis Perbandaran Kluang (MPK) Abd Hamid Dahlan berkata, cadangan naik taraf dan penyambungan perparitan akan dilaksanakan selewat-lewatnya pada November tahun ini. 

“Perkara utama yang perlu dilakukan sekarang hanyalah untuk menyelesaikan limpahan air longkang di Jalan Jelawat, Jalan Belida dan Jalan Talapia terlebih dahulu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN