Penduduk Kampung Seri Tanjung kecewa arapaima mati

Penduduk Kampung Seri Tanjung kecewa arapaima mati

ZUHAIRI Abidin menunjukkan lokasi tiga ekor ikan arapaima yang dibela di Kampung Seri Tanjung, Masjid Tanah, Melaka sebelum dipindahkan ke Zoo Negara. - UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR GAJAH: Kira-kira 2,000 penduduk Kampung Seri Tanjung, Masjid Tanah di sini kecewa apabila dimaklumkan bahawa tiga ekor ikan arapaima disahkan mati selepas dipindahkan ke Zoo Negara oleh Jabatan Perikanan, pada 11 Oktober lalu.

Ikan dengan berat antara 80 hingga 200 kilogram (kg) dan panjang kira-kira 1.2 hingga 2.5 meter setiap ekor itu menjadi ikon pelancongan kampung berkenaan, sejak 20 tahun lalu.

Sidang Kampung Seri Tanjung, Zuhairi Abidin, 59, berkata, sebelum ini pada setiap petang penduduk terutama kanak-kanak akan memberi makanan kepada spesies yang ditempatkan di sebuah kolam bawah bangunan inap desa terbiar.

“Memberi makan kepada spesies itu sebenarnya menjadi aktiviti riadah hampir setiap petang buat penduduk yang seronok melihat kelibat ikan gergasi berkenaan.

“Apabila majlis kahwin diadakan di Dewan Astana Puteh, para jemputan
tidak melepaskan peluang untuk melihat dari dekat ikan yang hanya akan dapat dilihat di setiap zoo.

“Saya sendiri kecewa ikan itu dilaporkan mati. Hilang sudah seri kampung ini tanpa arapaima. Tidak ada lagi orang akan berkunjung ke sini pada cuti hujung minggu semata-mana ingin melihat kelibat ikan ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Sebelum ini, dilaporkan bahawa lima anggota Jabatan Perikanan cedera dilibas ikan berkenaan ketika operasi tangkapan, namun ia disahkan mati kurang 24 jam selepas dipindahkan.

Dalam pada itu, penduduk Ramli Abdul Rashid, 67, berkata, tidak sepatutnya pihak berwajib memindahkan ikan tersebut kerana ia tidak pernah mengancam orang ramai.

“Ikan ini dibela sejak lebih 20 tahun lalu oleh pemilik inap desa dan dewan perkahwinan. Saban hari anak-anak menjadikan aktiviti riadah memberi makan kepada ikan ini.

“Saya akui pemilik ikan itu tidak meningkatkan tahap keselamatan kerana ada pagar yang rosak dan ini membahayakan kepada kanak-kanak, walaupun belum ada kejadian ia mengancam penduduk kampung,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN