Penduduk buat persiapan hadapi air pasang besar

Penduduk buat persiapan hadapi air pasang besar

PENDUDUK menunjukkan ban penahan air berdekatan kampung mereka di Sungai Tiang di Bagan Datuk, Perak. – UTUSAN/AIN SAFRE BIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGAN DATUK: Penduduk berdekatan sungai di sini, memindahkan peralatan rumah ke tempat tinggi bagi mengelak terkena banjir susulan ramalan berlaku air pasang besar kali kedua dalam masa terdekat.

Selain itu, ada penduduk yang menghantar ibu bapa mereka yang tidak sihat atau uzur ke rumah ahli keluarga terdekat untuk mengelak golongan warga emas terjejas air pasang besar.

Menurut penduduk, walaupun terdapat ban atau penahan air, mereka tetap bimbang air su­ngai melimpahi tebing seperti yang berlaku baru-baru ini.

Fenomena air pasang besar kira-kira sebulan lalu mengakibatkan ban yang dibina daripada batu mengalami kerosakan apabila terdapat banyak batu yang sudah jatuh dan paras ban menjadi rendah.

Seorang penduduk, Azizam Mohamad Alias Aziz, 54, berkata, mereka memindahkan peralatan rumah ke tempat tinggi terutama peralatan elektronik yang mudah rosak jika terkena air.

Katanya, ini kerana ketika dilanda air pasang besar sebulan lalu, barangan seperti tilam, bantal, karpet dan perkakas rumah rosak dan tidak boleh digunakan akibat terkena air.

“Kali ini kami lebih bimbang kerana ramalan air pasang besar dikatakan lebih tinggi. Kami sudah membuat persediaan de­ngan memindahkan peralatan rumah ke tempat tinggi. Ini antara ikhtiar supaya dapat mengurangkan kerosakan barangan jika air pasang besar melanda.

“Walaupun terdapat ban penahan air berdekatan kampung, kami bimbang kerana semasa air pasang besar sebelum ini, air naik sehingga melepas ban dan masuk hingga ke kampung penduduk.

“Kebimbangan berasas ke­rana berdasarkan air pasang besar sebelum ini, kampung ini terjejas teruk, jadi kali ini kami membuat persediaan yang sepatutnya,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurutnya, penduduk masih trauma kejadian air pasang besar sebelum ini yang bukan sahaja merosakkan peralatan rumah tetapi kesannya terpaksa membersihkan rumah yang terkena lumpur dan sampah sarap yang dibawa air pasang besar.

“Kampung ini terletak berhampiran Sungai Tiang dan muara laut Selat Melaka. Air mudah naik sehingga melimpahi ban jika cuaca buruk.

“Ramalan air pasang besar selama lima hari bermula 17 sehingga 21 Oktober ini membimbangkan kami namun kami sudah membuat persiapan sebaik mungkin untuk mengelak kerosakan lebih besar,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya