PASIR SALAK: Paras air Sungai Perak yang semakin naik menyebabkan penduduk tinggal berdekatan sungai tersebut bimbang banjir besar tahun 2014 berulang.
Penduduk terutama di Kampung Gajah di sini mengakui masih trauma dengan kejadian banjir 10 tahun lalu, antara banjir terbesar yang pernah mereka alami.
Lebih membimbangkan ramalan fenomena air pasang besar yang sedang berlaku akan menyebabkan paras air sungai naik lebih tinggi.
Seorang penduduk Kampung Bendang Besar di Kampung Gajah di sini, Muhamad Dauh, 60, berkata, ketika ini paras air Sungai Perak semakin naik, keadaan yang hampir sama seperti sebelum banjir pada tahun 2014.
Menurutnya, ketika ini sudah banyak kawasan rendah yang dinaiki air dan bimbang keadaan semakin buruk jika hujan berterusan terutama di bahagian Hulu Perak.
Katanya, penduduk bimbang kejadian banjir pada tahun 2014 berulang sehingga menjejaskan banyak perkara.
“Saya masih ingat pada tahun 2014 , air naik sehingga ke paras pinggang malah ada kawasan yang air naik hingga ke paras dada,
“Keadaan pada masa itu amat mencemaskan kerana kami tidak sangka banjir begitu besar sehingga menenggelamkan banyak kawasan di Kampung Gajah.
“Melihatkan paras air Sungai Perak yang semakin naik, kami bimbang kejadian 10 tahun lalu boleh berulang,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Muhamad berkata, sebagai persediaan, ada penduduk yang memindahkan peralatan rumah ke tempat tinggi bagi mengelak terkena air banjir.
Katanya, apa yang membimbangkan paras air sungai ketika ini naik begitu cepat dipercayai disebabkan air pasang besar.
“Ketika ini pun kawasan rumah penduduk di kampung ini sudah dinaiki air sejak semalam. Jika hujan lebat dan fenomena air pasang besar berlaku serentak, paras air mungkin lebih tinggi.
“Kami sekeluarga sudah bersiap sedia untuk menghadapi banjir termasuk menyediakan sampan untuk memindahkan ahli keluarga dan mangsa banjir yang lain jika keadaan semakin buruk,” katanya. – UTUSAN