KLANG: Tindakan menculik dan meminta wang tebusan lebih RM300,000 atas alasan kononnya mangsa mempunyai hutang mengundang padah apabila lima penjenayah terbabit dicekup.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, kejadian awal pagi 18 Oktober lalu itu berlaku ketika mangsa seorang lelaki dalam perjalanan menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dengan menaiki perkhidmatan e-hailing.
Menurutnya, bagaimanapun siasatan mendapati mangsa yang merupakan warga China ditahan sebuah kereta di sekitar Plaza Tol Putrajaya.
“Empat suspek warga asing kemudian keluar dan bertindak menculik mangsa yang dibawa ke sebuah premis di Kuala Lumpur.
“Pada 19 Oktober lalu, polis bagaimanapun menemukan mangsa yang cedera di Hospital Kuala Lumpur (HKL) selepas cuba menyelamatkan diri dengan terjun dari bangunan lokasi dirinya dikurung,” katanya ketika ditemui selelas merasmikan Dewan Serbaguna Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan di Balai Polis Pandamaran, hari ini.
Jelas Hussein, hasil maklumat pihaknya kemudian membawa kepada penahanan lima suspek berusia 30 hingga 40-an bagi membantu siasatan.
“Kesemua mereka terdiri daripada empat warga China dan seorang warga tempatan itu ditahan antara 19 hingga 22 Oktober lalu. Mereka kini direman sehingga 28 dan 29 Oktober ini bagi tindakan lanjut,” ujarnya.
Tambah beliau, pihaknya percaya suspek melakukan pemerasan terhadap keluarga mangsa dengan mendakwa lelaki itu berhutang dengan mereka.
“Kes itu bagaimanapun masih dalam peringkat siasatan dan kita sedang giat mencari bahan bukti.
“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan,” jelasnya. – UTUSAN