Pencarian jasad Sabari masih buntu

Pencarian jasad Sabari masih buntu

BOMBA terus melakukan pencarian Sabari Baharom yang dicampak ke dalam Sungai Padang Terap, Kubang Pasu, Kedah semalam. -UTUSAN/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUBANG PASU: Operasi pencarian jasad Sabari Baharom, 62, yang dipercayai dicampak ke dalam Sungai Padang Terap, di sini memasuki hari keempat namun tiada sebarang perkembangan positif setakat ini.

Bagaimanapun, pasukan penyelamat terdiri daripada pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dilihat tidak berputus asa.

Mereka terus menyelusuri sepanjang sungai tersebut sejak pagi sehingga ke lewat petang bagi mencari jasad mangsa atau apa-apa barangan berkaitan Sabari yang boleh dijadikan bahan bukti.

Setakat ini, radius pencarian difahamkan meliputi 13 kilometer (km) sepanjang Sungai Padang Terap yang bermula dari Jambatan Lubuk Batu ke Jambatan Kepala Batas, dekat sini.

Sehingga kini juga, pihak berkuasa terutama PDRM tidak mengeluarkan apa-apa perkembangan rasmi berkaitan operasi pencarian itu selain kenyataan tangkapan suspek dan pengesahan mangsa dibuang ke dalam sungai, Isnin lalu.

Operasi pencarian juga dikatakan berdepan kesukaran ekoran keadaan sungai yang panjang, bercabang dan dasar sungai yang dipenuhi reba pohon tumbang.

Keadaan bertambah sukar dengan kawasan sungai itu yang dipenuhi air sebelum ini ekoran banjir melanda di situ sejak pertengahan bulan lalu.

Sementara itu, ahli keluarga Sabari terutama isterinya, Subhiah Roslina Shahibi, 57, dan anak-anak tirinya turut berada di sekitar tebing sungai berkenaan sejak pagi bagi sama-sama mengikuti perkembangan pencarian.

SURAIYA Izzaty Sabari dan adiknya, Nur Aina Sofiya turut berada di lokasi pencarian bapa mereka, Sabari Baharom di Sungai Padang Terap, Kubang Pasu, semalam.

Misteri kehilangan Sabari yang merupakan pesara Felcra akhirnya terungkai apabila polis memberkas dua lelaki tempatan yang disyaki terlibat dalam kehilangan mangsa.

Dalam kejadian itu, Sabari dipercayai dicampak ke dalam Sungai Padang Terap di Kampung Empa, Derang dalam keadaan tangan diikat dan mulutnya ditutup dengan pita pelekat.

Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh berkata, kedua-dua suspek berusia 26 dan 38 tahun itu ditahan pada Jumaat lalu.

Katanya, hasil soal siasat, pengakuan telah dibuat oleh kedua-dua suspek bahawa mangsa telah dicampak ke dalam itu, namun sehingga kini mangsa masih gagal dijumpai dan usaha mencari masih dilakukan.

Susulan itu, Fisol berkata, siasatan yang dilakukan melibatkan kes orang hilang melibatkan mangsa kini dilanjutkan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Sabari dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya di Kampung Mengkuang Tengah di Kuala Pegang, Baling dengan menaiki kereta jenis Proton Waja pada 4 September lalu.

Kehilangan warga emas itu disedari anaknya selepas telefon bimbit dimatikan selain terdapat transaksi pengeluaran wang dari akaun bank milik Sabari sebelum kereta Proton Waja dinaiki mangsa ditemui hangus terbakar di Belantik, Sik. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya