LAMA saya menyimpan hasrat untuk mengabadikan figura ini dalam ruangan Khabar Legenda. Impian itu terlaksana baru-baru ini.
Datuk Mokhzani Ismail menerima pelawaan Pancaindera untuk diwawancara, meluangkan sedikit masa meskipun berdepan jadual kerja yang agak padat.
Sesi temu bual berlangsung di pejabat beliau di Angkasapuri. Sepanjang sesi itu, Mokhzani berbagi pengalaman empat dekad sebagai penggubah lagu dan konduktor muzik prolifik dan disegani.
Mungkin ramai dalam kalangan kita yang tidak tahu bahawa anak kelahiran negeri jelapang padi ini merupakan pemuzik Malaysia pertama yang dilantik sebagai duta bagi jenama piano antarabangsa selain pemuzik Malaysia pertama yang membuat persembahan secara live di tapak warisan dunia, tembok besar China.
Sebaik diceritakan Mokhzani mengenai perkara itu, timbul rasa takjub dalam diri saya.
Bukan apa, dalam beliau memegang pelbagai pengiktirafan dan rekod bertaraf nasional, Mokhzani orangnya kekal bersederhana dan merendah diri.
Dan pengalaman dikongsikan beliau mencipta dua rekod yang mungkin belum ditandingi mana-mana pemuzik tempatan itu amat berharga dan perlu saya kongsikan dengan pembaca.
“Pada tahun 2014, sebuah syarikat pembuatan piano terkenal Jerman yang berpusat di Shenzhen, China datang ke Malaysia untuk membuka kilang di negara kita.
“Saya, dalam satu pertemuan antara wakil syarikat itu dengan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, diminta membuat persembahan bermain piano yang kebetulan, piano itu merupakan pemberian Tun Siti Hasmah Mohamad Ali kepada suaminya.
“Tertarik dengan persembahan saya, wakil syarikat berkenaan menawarkan saya menjadi duta bagi jenama piano berkenaan,” ceritanya.
Kata Mokhzani, selaku duta, beliau perlu mengikuti rangka lawatan dan membuat persembahan di beberapa lokasi terpilih seluruh China.
“Kami menjelajah ke pelbagai tempat di China, dan ketika itulah saya menyertai penggambaran, dimana saya dirakam bermain piano secara live berlatarkan Tembok Besar China.
“Hanya Tuhan sahaja tahu betapa mencabarnya bermain piano dalam keadaan suhu yang mencecah – 2 darjah celsius. Beberapa kali saya terpaksa mengambil tempoh bertenang, memanaskan tangan sebelum meneruskan bermain piano ketika itu.
“Dan disebabkan saiznya yang agaj besar, piano itu terpaksa diangkut ke lokasi tersebut dengan menggunakan helikopter.
“Proses yang kami lalui memang mencabar. Tetapi saya lega, hasilnya saya berjaya diiktiraf Malaysia Book of Records sebagai pemuzik tempatan pertama dilantik menjadi duta alat muzik buatan antarabangsa dan pemuzik tempatan pertama bermain piano di Tembok Besar China,” kongsinya.
Disoal mengenai lokasi bermain piano paling mencabar, Mokhzani menyebut, Mongolia.
“Ia kerana saya bermain piano dalam keadaan suhu sejuk melampau yang jatuh ke paras -18,” katanya.
MINAT MUZIK SEJAK KECIL
Mokhzani lahir dan dibesarkan di Kampung Alor Lanchang, Jejawi, Perlis.
Beliau dibesarkan ibu bapanya yang juga warga pendidik yang mempunyai minat mendalam terhadap muzik.
“Dulu, tak ada sekolah muzik. Jadi pada peringkat awal, saya belajar bermain piano sendiri, dengan kaedah mendengar alunan sampai usia saya mencecah 18 tahun.
“Bapa mahu saya ikut langkahnya menjadj guru, jadi saya masuk Maktab Perguruan Ilmu Khas Cheras (kini Institut Pendidikan Guru Kampus Ilmu Khas) selama dua tahun.
“Pada usia 20 tahun, saya ikuti kursus belajar bermain piano sehingga gred 8 di Sekolah Muzik Yamaha,” katanya.
Ingin menjadi pemuzik berilmu, Mokhzani mengambil keputusan melanjutkan pengajian ke Berklee College of Music, Boston, Amerika Syarikat.
Impiannya itu terlaksana dengan bantuan biasiswa yang diberikan Majlis Amanah Rakyat (MARA).
Mokhzani merupakan anak Perlis pertama yang berjaya melanjutkan pelajaran ke kolej muzik terbaik dunia itu.
“Selepas empat tahun pengajian, saya pulang ke Malaysia pada tahun 1990. Sepatutnya saya jadi pensyarah muzik secara kontrak di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).
“Namun saya dinasihatkan cari kerja lain sementara menunggu kekosongan bagi jawatan tersebut.
“Rezeki telah ditentukan bersama Radio Televisyen Malaysia (RTM) apabila saya ditawarkan menyertai stesen berkenaan, bermula sebagai pemain piano pada tahun 1991. Di sini saya timba pengalaman, bergaul dengan ramai pemuzik senior.
“Sehinggalah pada tahun 1996, saya menyertai orkestra RTM sebelum empat tahun selepasnya, dilantik sebagai Pengarah Muzik sehingga kini,” kongsinya.
Pengalaman lebih empat dekad melayakkan Mokhzani diangkat sebagai pemuzik prolifik dan berada lada liganya tersendiri.
Disebabkan ilmu dan pengalaman yang luas, Mokhzani diberi kepercayaan menggalas tugas juri dan komentator termasuk untuk acara-acara besar seperti Anugerah Juara Lagu.
Pembabitan beliau dalam bidang itu juga telah membawa beliau ke seluruh pelusuk dunia, antaranya menyertai festival-festival muzik berprestij seperti Bangkok Jazz Festival yang mula disertainya ketika usianya mencecah awal 30-an.
Kini, pada usia 61 tahun, Mokhzani masih aktif meneruskan minat dan kerjayanya, tetap menjadi pilihan untuk menerajui persembahan – persembahan besar termasuk yang tarbaharu Konsert Search Symphonic Live In Kuala Lumpur baru-baru ini.
SHARIFAH AINI, ADIBAH NOOR
“Saya kagumi arwah, mengidolakan dia.”
Adibah Noor nama yang disebut Mokhzani apabila ditanyakan siapa penyanyi yang beliau idolakan.
Bagi Mokhzani, arwah penyanyi satu dalam sejuta yang aura dan keunikannya tiada pendua.
“Dia antara penyanyi yang saya perkenalkan dalam industri seni. Saya kagumi nyanyiannya. Mungkin dari segi komersial, arwah tidak terlalu menyerlah. Tetapi atas pentas, dia menonjol.
“Arwah pada awal kemunculannya selalu ikut saya buat persembahan. Sehinggalah dia melantik saya menjadi pemuzik tetapnya.
“Mungkin saya tidak pernah ceritakan perkara ini. Program Big Band Orkestra RTM yang ditayangkan di TV2 asalnya dirancang bersama arwah. Pada awal, dialah hos dan penyanyinya. Dan kami sudah merancang untuk mempersembahkan tiga lagu, Terlalu Istimewa, Hujan (dipersembahkan dalam bentuk Keroncong) dan sebuah lagu baharu. Tapi perancangan itu tidak menjadi kenyataan apabila ditakdirkan arwah meninggal dunia dua tahun lalu,” kongsi beliau.
Dalam pada itu, Mokhzani juga berkongsi pengalaman bekerjasama dengan Allahyarham Datuk Sharifah Aini, lebih-lebih lagi mengenai konsert terakhir Biduanita Negara itu pada tahun 2012.
“Banyak kenangan bersama Allahyarham. Saya sempat ke rumahnya, bermain piano miliknya sebagai persiapan menjelang konsert tersebut.
“Allahyarham penyanyi yang teliti, dia ada kehendak muzik yang perlu difahami. Kadang dia mahukan kepelbagaian genre, simfoni, Pop atau tradisional.
“Allahyarham ini saya sifatkan aura nya cukup besar, dia berdiri atas pentas tanpa menyanyi pun orang sudah jadi kagum,” katanya.