SEOUL: Seorang remaja lelaki membuat laporan polis kerana dipukul individu tidak dikenalinya hanya kerana lelaki itu mengajak rapper terkenal, Jessi, mengambil gambar bersama-sama.
Dalam kejadian awal pagi di Apgujeong, Seoul itu, lelaki berusia 18 tahun terbabit mendakwa dihalang dan dimaki salah seorang rakan Jessi sebelum dipukul individu lain yang tiba-tiba muncul dan bertindak agresif.
Saksi yang merakam kejadian itu memaklumkan Jessi hanya menyaksikan kawannya memukul mangsa sebelum beredar dari lokasi kejadian.
“Saya melihat lelaki itu dipukul, Jessi tidak berbuat apa-apa sebaliknya beredar dari tempat kejadian.
“Dia tidak bertindak meleraikan pergaduhan itu, saya ada bukti menerusi rakaman video.
“Sebagai peminat, saya kecewa dengan dia,” kata saksi.
Jessi yang disiasat polis berkenaan insiden itu memaklumkan dia dan kawan-kawannya tidak tahu keberadaan lelaki yang mengasari mangsa.
Ibu mangsa bagaimanapun mendapati pelaku tidak mempunyai hubungan dengan Jessi, sebaliknya merupakan kenalan kepada penerbit muzik yang rapat dengan rapper berkenaan.
Sementara itu, mangsa mendakwa menerima pesanan dari penerbit berkenaan yang memberi amaran agar mangsa tidak mengganggu atau mengancam Jessi kerana dakwanya rapper tersebut tidak mengenali pelaku.
Dalam masa yang sama, peguam mewakili syarikat pengurusan Jessi menafikan penglibatan rapper berkenaan dalam kejadian itu.
“Jessi tidak mengenali pelaku dan mereka kali pertama berjumpa pada hari kejadian.
“Kami perlu mempertimbangkan tindakan susulan sekiranya mangsa terus menerus menuduh Jessi terbabit dalam kejadian ini,” kongsinya.
Dalam perkembangan sama, jurucakap polis Gangnam memaklumkan akan menyiasat penerbit muzik berkenaan bagi mengenal pasti identiti penyerang tersebut.
“Polis tiada pilihan selain menyiasat penerbit itu untuk mengenal pasti identiti lelaki berkenaan.
“Mereka akan hadir ke balai sekitar minggu hadapan,” katanya.