PETALING JAYA: Seluruh anggota kumpulan Rabbani sepakat untuk tidak menambah ahli baharu dan kekal bergerak dengan tujuh anggota.
Ketua kumpulan itu, Azadan Abdul Aziz berkata, buat masa ini, Rabbani masih boleh bertahan dengan ahli sedia ada justeru merasakan tiada keperluan untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan ahli yang telah meninggal dunia.
“Anggota Rabbani sedia ada selesa antara satu dengan yang lain. Kami sudah lama bersahabat dan bekerjasama.
“Peminat juga berpesan, tak perlu ganti ahli baharu.
“Anggota sedia ada pun masih ramai. Tujuh kesemuanya, cukuplah,” katanya ketika ditemui sempena sidang media konsert lima rukun, baru-baru ini.
Kelangsungan kumpulan nasyid terkenal itu diteruskan tujuh ahlinya termasuk Zulkiflee Azman, Ahmad Syafie, Mohd. Asri Ubaidullah, Muhammad Rithauddeen Yaakob, Muhammad Loqman Abd. Aziz, Hamzah Hasyim dan Mohamad Afendi Shahbudin.
Dalam pada itu, Azadan memaklumkan bukan mudah untuk mendapatkan keserasian dalam kalangan anggota sedia ada apatah lagi perkara itu terbina sejak zaman remaja mereka.
“Untuk berkolaborasi dengan individu lain, tak ada masalah.
“Tetapi, untuk menjadi sebahagian daripada kumpulan ini, adakah yang sanggup? Takut ahli baharu tak selesa,” kongsinya.