KUALA TERENGGANU: Tindakan pantas pembantu rumah Indonesia berjaya menyelamatkan suami isteri warga emas yang terperangkap setelah premis perniagaan mereka di Jalan Hiliran di sini, terbakar pukul 7 pagi, hari ini
Khoo Yok Min, 80, berkata, kejadian berlaku ketika dia bersama isteri, Cho Yu Liang, 80, sedang bersarapan di tingkat tiga sebelum pembantu rumah, Suprihatun, 42, terhidu bau asap yang dipercayai datang dari aras bawah iaitu kedai borong makanan dan barang keperluan yang dijalankan bersama Yu Liang sejak lebih 50 tahun lalu.
“Di bangunan lima tingkat ini, rumah yang kami tinggal terletak di tingkat tiga manakala kedai borong pula di tingkat paling bawah dan sebelum kebakaran, saya sedang makan bersama isteri.
“Sebaik terhidu bau asap, pembantu rumah segera memimpin tangan kami untuk turun menyelamatkan diri dan saya bersyukur tiada kemalangan jiwa berlaku,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Terengganu, Rozizah Abni Hajar berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian berkenaan pada pulul 7.06 pagi.
Menurut beliau, sepasukan 50 pegawai dan anggota BBP Kuala Terengganu, Jalan Kota dan Marang digerakkan ke lokasi dengan bantuan enam buah jentera bagi memadam kebakaran. – UTUSAN