KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara setahun dan dua sebatan terhadap seorang pembantu kedai sebuah syarikat perniagaan haiwan eksotik kerana pecah amanah wang RM78,200 hasil jualan enam ekor kura-kura milik syarikat berkenaan, awal minggu ini.
Hakim Hamidah Mohamed Deril menjatuhkan hukuman itu terhadap Muhammad Amirul Arsyad Ahmad Nor Hishamuddin, 25, yang mengaku bersalah terhadap pertuduhan itu serta memerintahkannya menjalani hukuman penjara bermula 21 Oktober lalu.
Tertuduh yang ketika itu pembantu kedai Syarikat Lucid Vortex Sdn. Bhd. didakwa melakukan pecah amanah wang berjumlah RM78,200 yang merupakan hasil jualan enam ekor kura-kura jenis Aldabra dan Leopard di syarikat berkenaan di Jalan Dato Haji Harun, Taman Taynton View, Cheras pada 20 dan 21 Oktober lalu.
Pertuduhan mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum setahun dan maksimum 14 tahun dengan sebatan dan boleh didenda.
Mengikut fakta kes, pengadu iaitu pemilik syarikat Lucid Vortex telah membuat laporan polis selepas menyedari kehilangan enam ekor kura-kura milik syarikatnya.
Hasil siasatan polis mendapati, tertuduh telah menjual haiwan itu pada harga RM78,200 kepada seorang individu secara tunai dan tidak menyerahkan wang jualan berkenaan sehingga syarikat pengadu mengalami kerugian.
Timbalan Pendakwa Raya Raihanah Abd Razak memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh, namun Muhammad Amirul Arsyad yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan dengan alasan dia menanggung keluarga serta dua anak perempuan masing-masing berumur empat tahun dan 10 bulan.
“Saya baru sahaja bercerai dengan isteri saya pada Mei lepas, saya juga menjaga atuk dan nenek yang uzur,” kata tertuduh. – UTUSAN