KUALA LUMPUR: Kerajaan akan menggubal undang-undang bagi membolehkan pembangunan semula kawasan bandar dilaksanakan tanpa memerlukan persetujuan sepenuhnya (100 peratus) penduduk terlibat.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, cadangan penggubalan itu selari dengan negara maju lain yang memiliki undang-undang khusus dalam menentukan hala tuju sebarang pembangunan semula kawasan bandar.
Sebagai contoh, jelasnya, di Singapura hanya memerlukan 80 peratus persetujuan daripada pemilik hartanah untuk kebenaran melaksanakan pembangunan semula bagi bangunan berusia lebih 10 tahun.
“Mengikut Akta 757 (Akta Pengurusan Strata), jika terdapat 1,000 penghuni rumah pangsa, 999 bersetuju dan seorang bantah, maka projek tidak jalan dan ini kurang munasabah dan melanggar kepentingan awam. Jika bangunan tidak selamat diduduki, kita tidak mahu kejadian seperti Highland Towers berulang.
“Jadi, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah membuat kajian dengan amalan luar negara dengan membuat bandingan New Zealand sebanyak 75 peratus, Hong Kong (90 peratus), Australia (75 peratus), British Columbia dan Kanada (80 peratus) dan Singapura untuk bangunan kurang 10 tahun (90 peratus), lebih 10 tahun (80 peratus).
“Maka akta baharu ini cadangkan consent threshold (persetujuan ambang) tidak kurang daripada 80 peratus, maksudnya daripada 10 orang pemilik, kena dapat persetujuan sekurang-kurangnya lapan orang kerana projek itu boleh dirunding supaya pembaharuan bandar dijana dan dibangunkan,” katanya menjawab soalan tambahan dikemukakan di Dewan Rakyat, di sini semalam.
Terdahulu, Suhaizan Kaiat (PH-Pulai) meminta kementerian menjelaskan kesesuaian keadaan jika terdapat individu membantah sesebuah pembangunan yang ingin didirikan. – UTUSAN