Pembalakan didakwa akibatkan banjir lebih teruk di Baling, Sik - Utusan Malaysia

Pembalakan didakwa akibatkan banjir lebih teruk di Baling, Sik

SEORANG penduduk melihat sisa kayu yang dihanyutkan arus deras banjir ke kawasan rumahnya di Kampung Teluk Rambong di Baling.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SIK: Aktiviti pembalakan yang telah dan sedang dilakukan di kawasan hutan di sekitar daerah ini dan Baling didakwa antara faktor yang memburukkan lagi banjir di kedua-dua kawasan itu.

Pengerusi Pertubuhan Alam Sekitar Sejahtera Malaysia (GRASS) Kedah, Mohd Sobri Ramlee mendakwa, Hutan Simpan Rimba Teloi dan Bukit Enggang, di sini antara yang digondolkan untuk dijadikan ladang hutan.

Menurutnya, keadaan itu menyebabkan tiada lagi pokok-pokok besar yang boleh berfungsi sebagai perintang sebelum air hujan mencecah ke permukaan tanah.

“Hutan adalah penyerap air hujan terbaik yang mana aktiviti pembalakan secara cuci mangkuk mampu mencetuskan hakisan, serta banjir di kawasan kampung berhampiran.

“Lebih menakutkan apabila ia juga mampu menyebabkan kejadian kepala air atau banjir puing seperti di Iboi sebelum ini,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Mohd. Sobri berkata, hutan itu antaranya dijadikan ladang musang king, ladang solar serta terdapat aktiviti perlombongan unsur nadir bumi (REE).

Sementara itu, beliau sama sekali tidak menolak fenomena alam menjadi faktor kepada bencana banjir, namun mendakwa kerja-kerja hutan mengakibatkan bencana itu menjadi lebih dahsyat.

“Saya akui memang beberapa kawasan Sik dan Baling sering dilanda banjir, namun kita boleh lihat sekarang ini banjir yang berlaku amat menakutkan kerana aliran deras air berlumpur serta dalam. Selepas banjir surut kelak, kita boleh lihat keadaan rumah yang dipenuhi lumpur yang tebal,” ujarnya.

Tambah beliau, kejadian banjir yang melanda Pekan Sik juga disebabkan kawasan itu menjadi pertembungan Sungai Sik dari Hutan Simpan Bukit Enggang dan Sungai Chepir dari Hutan Simpan Rimba Teloi.

Sehubungan itu, beliau berharap kerajaan negeri Kedah dapat bertindak drastik dengan menghentikan semua aktiviti pembalakan dan melakukan kajian berhubung kesan daripada aktiviti itu kepada alam sekitar dan juga penduduk terlibat.

“Selain itu, kerja-kerja menanam tumbuhan tutup bumi serta pokok hutan bersesuaian perlu dilakukan dengan segera dan sempurna di kawasan yang telah digondolkan,” katanya.

Tambahnya, jika tiada tindakan pantas dilakukan, pihaknya tidak menolak kemungkinan berlaku kepala air yang dahsyat di Sik seperti yang terjadi di Iboi pada Julai 2022. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya