Pemandu van rogol anak tiri hingga mengandung dipenjara 10 tahun, dua sebatan

Pemandu van rogol anak tiri hingga mengandung dipenjara 10 tahun, dua sebatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang pemandu van dipenjara 10 tahun dan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah merogol anak tirinya sehingga mangsa melahirkan anak, tahun lalu.

Hakim Tasnim Abu Bakar menjatuhkan hukuman itu selepas merekodkan pengakuan tertuduh dan memerintahkan hukuman bermula dari tarikh lelaki itu dituduh di mahkamah iaitu pada 11 Oktober lalu. 

Mahkamah turut memerintahkan pemandu van itu menjalani sesi kaunseling sepanjang tempoh pemenjaraan dan diletakkan bawah pengawasan polis selama dua tahun, selepas selesai menjalani hukuman.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa telah merogol anak tirinya berumur 13 tahun semasa kejadian di kediaman mereka di Setapak Jaya di sini pada pukul 4 petang, 10 September 2023. 

Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 375(g) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah 376(2)(d) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum 10 tahun dan maksimum 30 tahun dan hendaklah iuga dikenakan hukuman sebat.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Siti Nursyuhada Abd Rauf memohon hukuman setimpal sebagai memberi pengajaran kepada tertuduh mengambil kira perbuatan tertuduh telah mendatangkan trauma terhadap mangsa.

“Perbuatan tertuduh ini telah menyebabkan mangsa melahirkan seorang bayi sehingga kanak-kanak itu tidak ke sekolah kerana malu serta perlu melalui proses pemulihan yang lama selepas bersalin,” kata Siti Nursyuhada.

Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan atas alasan dia menanggung keluarga serta mempunyai penyakit buah pinggang dan sakit lutut.

“Saya mempunyai seorang isteri merupakan Orang Kurang Upaya (OKU) serta seorang anak autisme. Hanya saya seorang sahaja yang menanggung keluarga. Saya minta maaf,” katanya.

Mengikut fakta kes, pada 16 Januari lalu, seorang pegawai perubatan di Hospital Kuala Lumpur telah membuat laporan polis mengatakan telah terima pesakit iaitu seorang kanak-kanak perempuan berumur 13 tahun untuk mendapatkan rawatan haid tidak teratur. 

Hasil pemeriksaan, mangsa didapati telah mengandung 19 minggu ketika itu dan memberitahu telah dirogol oleh bapa tirinya semasa berada di rumah.

Kemudian, mangsa telah melahirkan seorang bayi dan ujian DNA telah dijalankan terhadap bayi tersebut dan keputusan menunjukkan tertuduh merupakan bapa kandung kepada bayi tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya