Pemandu mabuk langgar murid melintas jalan ditahan

Pemandu mabuk langgar murid melintas jalan ditahan

TANGKAP layar video tular seorang murid sekolah yang dilanggar sebuah kereta yang tidak mematuhi lampu isyarat merah di hadapan sekolah berkenaan di Port Dickson pagi tadi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Polis menahan pemandu kereta Perodua Myvi mabuk yang melanggar seorang murid sekolah hingga cedera dalam kejadian berhampiran Sekolah Kebangsaan Port Dickson di sini, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintenden Maslan Udin berkata, ujian saringan alkohol terhadap lelaki berusia 28 tahun itu menunjukkan bacaan alkohol sebanyak 203mg alkohol/100 mililiter darah iaitu lebihan 153mg alkohol/100mililiter darah.

“Pemandu kereta direman empat hari sehingga 27 Oktober ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 44 (1a) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya kepada pemberita hari ini.

Menurut beliau, kemalangan itu berlaku kira-kira pukul 7.10 pagi membabitkan kereta jenis Perodua Myvi dengan seorang murid berusia 11 tahun semasa murid berkenaan melintas jalan.

“Semasa murid sekolah melintas jalan ke sekolah, pemandu kereta gagal untuk mematuhi lampu isyarat merah dan telah melanggar murid berkenaan.

“Akibat daripada kemalangan tersebut, murid berkenaan mengalami kecederaan patah pada ibu jari kaki kanan, luka di kaki dan tangan,” katanya.

Berdasarkan video tular di media sosial video yang berdurasi 33 saat, memaparkan beberapa murid lain mahu melintas jalan ketika lampu isyarat berwarna merah namun seorang murid dilanggar oleh sebuah kereta yang dipandu laju. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya