Pemandu lori didenda RM80,000 miliki diesel tanpa lesen - Utusan Malaysia

Pemandu lori didenda RM80,000 miliki diesel tanpa lesen

G. Chandrakumar (kiri) didenda RM80,000 kerana memiliki diesel tanpa lesen selepas didapati bersalah di Mahkamah Sesyen Sungai Petani.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Seorang pemandu lori didenda RM80,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini selepas didapati bersalah kerana memiliki barang kawalan berjadual iaitu 24,676 liter diesel tanpa lesen sah, dua tahun lalu.

Hakim Azman Abu Hassan menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, G. Chandrakumar, 47, selepas dia menukar pengakuan bersalah hari ini.

Pada 27 Disember 2023, dia mengaku tidak bersalah atas pertuduhan berkenaan di mahkamah yang sama.

Dia turut berdepan hukuman penjara selama enam bulan jika gagal menjelaskan denda itu. Bagaimanapun Chandrakumar membayar denda tersebut

Mengikut pertuduhan, terdapat pemilikan barang kawalan berjadual iaitu diesel sebanyak 24,676 liter dalam keadaan yang boleh menimbulkan syak munasabah untuk melakukan kesalahan iaitu berurusan dengan diesel secara  borong tanpa lesen.

Kesalahan dilakukan di sebuah premis di Kawasan Perusahaan Pinang Emas, Sungai Petani kira-kira pukul 1.30 petang 4 Oktober 2022.

Berikutan itu, tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 22(1) akta sama.

Jika sabit kesalahan, denda tidak lebih RM1 juta atau penjara selama lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Pegawai Pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kedah, Muhammad Nizam Amir meminta hukuman yang setimpal dengan mengambil kira ketirisan dana kerajaan yang hilang akibat penyewengan.

Bagaimanapun peguam T. Sharmela yang mewakili tertuduh merayu hukuman minimum kerana anak guamnya hanya berpendapatan RM2,000 sebulan serta perlu menjaga ibu yang sakit jantung selain menanggung kos pengajian seorang anak saudara lelakinya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya