Pemandu bawa kereta melulu, berbahaya ditahan polis

Pemandu bawa kereta melulu, berbahaya ditahan polis

TANGKAP layar satu rakaman video menunjukkan seorang pemandu kereta jenis Proton Wira (dalam bulatan merah) memandu secara melulu dan berbahaya apabila cuba menyelit di antara beberapa buah kereta di George Town, Pulau Pinang
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Seorang lelaki tempatan ditahan kerana disyaki memandu kereta jenis Proton Wira secara melulu dan berbahaya di sini, baru-baru ini.

Pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintenden Lee Swee Sake berkata, terdahulu, pihaknya terkesan dengan satu rakaman video yang tular di media sosial mengenai kejadian itu hingga menarik perhatian umum.

“Semakan polis mendapati, kejadian tersebut berlaku pada 12 September lalu, kira-kira pukul 6.18 petang di Jalan Datuk Keramat dan Lebuh Chulia, di sini.

“Untuk makluman, pemandu kenderaan tersebut iaitu seorang lelaki warga tempatan berumur 39 tahun dan berasal dari Ayer Itam telah pun ditangkap Khamis lalu (kelmarin),” katanya di sini, hari ini.

Terdahulu, rakaman video berdurasi lebih dua minit memaparkan sebuah kereta jenis Proton Wira yang dipandu secara merbahaya di sekitar pusat bandar di sini tular di laman sosial.

Menerusi video berkenaan, pemandu kereta tersebut dilihat turut memberhentikan keretanya secara tiba-tiba di tengah jalan sehingga membahayakan pengguna jalan raya yang lain.

Dalam pada itu, Swee Sake berkata, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 42(1), Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya.

“Pemandu kenderaan tersebut juga disiasat di bawah Seksyen 427, Kanun Keseksaan (khianat) kerana telah memecahkan cermin sebuah kenderaan dengan menggunakan tangan.

“Kes ini bersangkut dengan satu lagi kes jenayah berasingan yang dilaporkan pada 17 Oktober lalu dan dalam kes ini, pemandu kenderaan tersebut telah direman sehingga 20 Oktober ini (esok) untuk siasatan lanjut,” katanya.

Tambah Swee Sake, ujian awal saringan air kencing terhadap pemandu kenderaan tersebut mendapati, dia positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine.

“Pemandu kenderaan tersebut juga didapati mempunyai 12 rekod pelbagai kesalahan jenayah dan narkotik,” katanya yang turut menasihatkan pengguna jalan raya agar memandu secara berhati-hati dan berhemah demi menjamin keselamatan semua pihak.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya